Apa Ada Di AJL26? www.themalaysianinsider.com
February 05, 2012
5 FEB — Sudah beberapa tahun aku tidak menonton pertandingan akhir Juara Lagu, kerana tidak berada di dalam Negara. Selain menonton siaran langsung di TV3, aku juga pernah menonton persembahan di tempat berlangsung di Bukit Jalil. Tapi sekarang orang sudah boleh menonton di seluruh dunia melalui www.tonton.com.my. Tahun ini juga aku mengambil keputusan untuk menonton acara kemuncak industri muzik tanah air ini, walaupun di televisyen. Tahniah kerana terus kekal berada di dalam industri kreatif selama 26 tahun. Selalunya acara-acara tahunan di Malaysia tak kekal lama, terutamanya acara seni, seperti Kuala Lumpur Arts Festival. Mungkin inilah sebuah acara seni yang sebenar untuk orang Malaysia masakini, seni pop. Tapi bila menyebut sedemikian rupa, seni itu harus ada bukan saja pada muzik, senikata dan nyanyian, tetapi juga pakaian dan persembahan keseluruhannya.
Di Hong Kong, Hong Kong Arts Festival akan menyambut ulangtahun ke 40 pada tahun ini. Manakala Singapura pula telah mula mengadakan Singapore Arts Festivalnya sejak tahun 1977, genaplah 35 tahun pada tahun ini. Pada tahun 2008, Singapore Arts Festival menjadikan air sebagai tema, sama seperti tema Anugerah Juara Lagu pada tahun ini. Video promo yang dihasilkan oleh Celcom lah juga yang menjadi daya penarik untuk aku menonton AJL pada tahun ini, kerana seperti ada sesuatu yang berlainan yang bakal terjadi. Malah video promo di dalam air itu mengingatkan aku kepada persembahan teater tari ekspresionis Jerman karya Pina Bausch (1940-2009) yang begitu terkenal di dunia seni kontemporari. Di dalam pementasan tersebut pada tahun 1981, seluruh pentas dipenuhi dengan air, malah terdapat curahan air di mana-mana dari lelangit pentas. Para penari harus menari dan bermain di dalam air selama dua jam.
Apabila pengacara AJL26, Cheryl Samad bertanya kepada pengacara pasangannya, Faizal Ismail, ckenapa tema air?”, jawapannya, “kerana kita banyak taman tema air di Malaysia” dengan sebuah jawapan jenaka. Tetapi di dalam video promo “Di Sebalik Iklan AJL26”, ada beberapa cetusan idea yang disampaikan seperti kata Faizal Ismail sendiri “Air unsur yg baik, tubuh dan dunia penuh dengan air”. Hasni Yusof, pengarah iklan sendiri menjawab yang “air adalah sebagai sebuah tenaga”. Ning Baizura pula turut mengatakan yang “air sebagai sesuatu yang sangat simbolik, terutamanya pada seorang wanita, seperti air dalam kandungan ibu dan air yang menjadi sebahagian darah yang mengalir”. Pendekata tema air sudah diperjelaskan di situ. Tapi apakah cita-cita menjadikan air sebagai tema terlaksana?
Pada aku, kita di Malaysia juga sebenarnya dihubungkan dengan air, di antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung, Pulau Pinang serta pulau-pulau lain yang penting buat kita. Air pula sememangnya asas kehidupan, tanpa air, keringlah kita. Tetapi air juga membawa bencana seperti tsunami yang berlaku di Aceh, Jepun dan banjir yang baru melanda negara Thailand. Pendekata itulah salah satu unsur kejadian, selain tanah, api dan angin. Sayang, ini semua tidak pernah diucapkan. Atau mungkin itu terlalu akademik? Rasanya tidak, rakyat Malaysia pun semua dah berpendidikan.
Segmen pembuka tirai selalunya menjadi penentu sesebuah acara, samada ia memberansangkan atau tidak. Persembahan dimulakan dengan sebuah tribut yang menampilkan Jamal Abdillah sebagai Raja Pop, Awie Wings sebagai Raja Rock dan Shiela Majid sebagai Ratu Jazz. Cuma aku kurang jelas dengan konsep pemenang-pemenang AJL yang lalu. Aku juga tak pasti yang irama jazz pernah menjadi salah satu irama yang dipertandingkan. Malah seingat aku, Shiela Majid tidak pernah masuk ke peringkat akhir. Kalu tidak aku pastilah tahu, kerana irama jazz dan “Rhythm & Blues” adalah irama kegemaran sejak berada di kampus pengajian tinggi.
Yang lebih melucukan, M.Nasir yang bukan hanya seorang komposer rock dan balada, tetapi juga seorang penyanyi yang memperkenalkan irama pop-ethno atau irama Malaysia, langsung tidak disebutkan, apalagi bila orangnya sudah berada di depan mata. Sayang sekali! Yang lebih pelik lagi Sti Nurhaliza, yang banyak menggondol banyak anugerah di AJL langsung tidak diundang membuat persembahan. Dia seharusnya seorang Ratu Pop yang tidak harus ditinggalkan. Jikalah empat penghibur ditampilkan cukuplah untuk menzahirkan konsep Tanah, Air, Api dan Angin.
Walaubagaimanapun, persembahan Jamal Abdillah mendendangkan lagu “Senandung Semalam” cukup memukau, malah mengingatkan aku pada klip video Raja Pop, Michael Jackson, “Thriller”. Jamal juga sudah siap berjaket, bersarung tangan dan bertopi, disulami dengan asap, hujan dan kilat sabung menyabung. Sayang sekali tidak ada gadis-gadis dan jejaka-jejaka yang bangit dari kepulan-kepulan itu. Ini tepat sekali mewakili konsep tanah dan air.
Persembahan Awie dgn rambutnya yang mengerbang dan angin yang bertiup, membelaia sekaf merahnya, dengan aura warna pentas yang merah amat menarik sekali. Kontinuiti berwarna merah pada baju Shiela Majid pula seperti mewakili api. Cuma sayang, aku tak berapa pasti apa yang ditarikan atau dilakukan oleh penari-penari di sekelilingnya. Secara umum, kesemua lagu-lagu yang dipertandingkan agak unik dan menarik untuk didengar, dari lagu-lagu rock seperti “Wanita Seluruh Dunia” nyanyian Projek Pistol, “Karma” oleh Faizal Tahir dan “Gadis Semasa” nyanyian and Yuna, irama pop alternatif seperti “Adinda Kekanda” persembahan Monolog dan Atilia, “Cinta Muka Buku” oleh Najwa Latif, “Penakut”nyanyian dan ciptaan Yuna dan “Sungai Lui” persembahan Aizat. Yang peliknya saban tahun AJL ini menjadi seperti sebuah pertarungan persembahan penyanyi-penyanyi menyanyikan lagu secara “live”. Bukankah kita sepatutnya meraikan pencipta lagu? Bagaimana pula dengan pengiktirafan terhadap penulis lirik? Anugerah tersebut telah hilang dari pertandingan.
Lagu “Kalau Berpacaran” dendangan penyanyi puisi era 1970an Sohaimi Mior Hassan, Ana Rafali dan Ultimate Rapper, kelihatan seperti sebuah percubaan menghasilkan irama baru melalui gabungan tiga gaya berbeza, tetapi didominasi irama 1960an. Tiga buah lagu lain yang dipertandingkan, “Awan Nano” nyanyian Hafiz, “Beribu Sesalan” persembahan gabungan Ning Baizura, Shila Amzah dan Jacquiline Victor, “Sedetik Lebih” yang didendangkan oleh Jac serta “Kisah Hati” nyanyian Alyah, boleh dikatakan sebagai lagu-lagu pop balada yang sudah menjadi kebiasaan untuk tercalon di peringkat akhir, malah berpotensi untuk menjadi juara. Cuma sejak beberapa tahun kebelakangan ini irama pop urban, rap, hip-hop dan rock alternatif menjadi pilihan.
Penjurian 12 belas lagu yang dipertandingkan melalui pengundian oleh 30 orang juri dari kalangan pencipta, penulis dan produser lagu yang diketuai oleh Azmeer dengan menggabungkan nama-nama besar seperti Jennifer Thomson, Fauzi Marzuki, Susan Goh, Ajai, Johan Nawawi dan lainnya, mungkin dilihat sebagai suatu perubahan baru untuk hala tuju industri muzik. Sekaligus mengumpulkan mereka bersama untuk sama-sama berfikir, apakah arah seterusnya untuk industri muzik di era teknologi informasi ini?
Juara lagu pada tahun ini, “Awan Nano” ciptaan M.Nasir dan lirik oleh Budi Hikayat, mendapat hadiah RM35,000. Lagu “Beribu Sesalan” ciptaan Kevin Chin pula menyandang Naib Johan dengan hadiah RM15,000, manakala lagu “Karma” ciptaan Audi Mok bule mendapat tempat ketiga dengan hadiah RM12,000.
Hafiz AF(Akademi Fantasia) dari Sarawak memenangi anugerah Vokal Terbaik melalui lagu dendangannya, “Awan Nano”, yang tidak kurang menarik persembahannya melalui penampilan penyanyi dangdut Malaysia, Herman Tino, di dalam tayangan video yang dipaparkan. Penampilannya yang bersahaja, dengan berkaki ayam, berbaju tee, dan bercelana trak, mampu menarik perhatian dan menumpukan persembahannya kepada vokal. Sebelum ini pun kita pernah melihat persembahan Maizurah Hamzah, Eliana dan Ning Baizura berkaki ayam. Apakah penampilan sebegini rupa boleh menjadi representasi kaum petani dan penduduk luar bandar? Atau ianya boleh merepsentasikan golongan urban yang melihat fesyen catwalk di Paris dan Milan sebagai rujukan untuk bergaya?
Rasanya banyak persembahan yang menarik dalam AJL26, dari Projek Pistol yang simple bersahaja, Aizat yang menampilkan projeksi video “seni pasir”, sesuatu yang baru di Malaysia, Faisal Tahir yang tampil gothic dramatik, Jac dengan busana yang begitu sensuous dengan penampilan piano, alat muzik bertali dan dibelakangi kumpulan koir, seperti sekumpulan penyanyi gospel di Amerika. Persembahan Alyah dalam lagunya “Kisah Hati” menjadi satu tanda tanya buat aku, bukan kerana bajunya tak cantik atau suaranya hancur, tetapi pengarahan yang membingungkan, dengan seorang badut yang membaca doa “Alif Ba Ta” beberapa kali untuk memulakan pergerakan patung yang bernyanyi. Yang peliknya aku tidak pasti macamana tiba-tiba patung itu bergerak tanpa sebarang desakan. Atau mungkin Remy Ishak yang tiba-tiba muncul menjadi penggerak patung yang kaku untuk bergerak. Apapun, Alyah dianugerahkan sebagai persembahan terbaik dan menerima RM10,000.
AJL26 juga mencatatkan momen-momen yang unik seperti persembahan Monolog dan Atilia yang berpakaian tradisi siap dengan tanjak, kot dan sampin labuh, manakala Atilia berbaju kebaya songket bunga tabur, dengan iringan alat muzik angklung dan sekumpulan marching band, menjadikan persembahan menarik, walaupun lagunya agak hambar.
Yuna yang tampil berbeza di dalam kedua-dua buah lagu “Gadis Semasa” dan “Penakut”, menyuntikkan elemen muzik James Bond dalam di dalam prelude lagu “Gadis Semasa”. Cuma agak terperanjat melihat beliau menampilkan imej glam-muslim, siap dengan bulu mata lentik, baju-baju berjemaki dan dihiasi assesori. Beberapa tahun lalau sewaktu beliau mula-mula muncul ada suara-suara yang bertanya “selama mana Yuna akan bertahan di dalam industri dan tidak menjadi “glamour girl”. Malah aku sendiri tertanya-tanya “Perlukah Yuna, yang bersuara simpel, sempoi, santai dan bersahaja, mengikut jejak penyanyi-penyanyi wanita Malaysia yang suka menyanyi dengan suara nada tinggi dan membawakan imej glamor? Kerana di saat dia berubah dari gaya asalnya yang tersendiri, dia harus mula memikirkan gaya persembahannya.
Malam gilang gemilang itu diakhiri dengan sebuah persembahan tribut untuk penyanyi penuh inovasi, Allahyarham Sudirman, melalui lagu-lagunya “Hidup Sederhana (Basikal Tua)”, “Balik Kampung”, “Chow Kit Road” dan “Salam Terakhir”. Yang sedihnya penyanyi-penyanyi yang digandingkan, Hazama, Black dan Lan Typewritter seperti tidak memberikan persembahan yang terbaik. Walaupun mereka tidak bertanding di dalam AJL, seharusnya para penyanyi generasi baru ini memberikan perhatian dan kesungguhan yang lebih, juga sebagai tanda hormat pada penghibur generasi terdahulu. Para penari latar di akhir persembahan seperti kehilangan arah dan tidak membantu nilai persembahan. Bak kata orang dulu-dulu “Buat Perabih Boreh”.
* Pandangan yang diberikan di atas hanyalah pandangan penulis.
No comments:
Post a Comment