Rainbow Warrior - Pahlawan Pelangi:
Membaca Karya Lukisan Rafiee Ghani
Sewaktu mendengar ungkapan judul pameran terkini Raffie Ghani, “Rainbow Warrior”, ada beberapa perkara yang terbayang dalam kepala; pertama, filem “Hang Tuah” arahan P.Ramlee yang asalnya dibikin dalam bentuk filem hitam putih (1956) dan kemudiannya diwarnakan menggunakan tangan. Mungkin kerana perkataan “Warrior” atau pahlawan atau pendekar itu yang membayangkan Pahlawan “Hang Tuah”, seorang pahlawan yang memperjuangkan kesetiaannya kepada raja dan negaranya. Terbayang juga, judul muzikal Andrew Lloyd Webber “Joseph and the Amazing Technicolor Dreamcoat” yang memungkinkan ungkapan kata “Technicolour” yang menghubungkan judul “Rainbow” dengan warna-warna pelanginya. Tetapi yang paling ketara adalah palitan warna-warna cat yang terungkai di dalam lukisan para Impressionis, Pasca-Impresionis, Nabis dan Fauvism seperti Gaugin, Van Gogh, Matisse, Pierre Bonnard, Edouard Vuillard dan Paul Serusier. Apabila membaca tulisan Mulyadi Mahamood (1996) “A Stylistic Analysis of Rafiee’s Intimisme” dalam The Painted Garden, ternyata terjahan-terjahan pemikiran saya tidak jauh dari tulisan itu. Mulyadi menyentuh yang karya-karya Rafiee Ghani mempunyai satu pautan dengan para Seniman Besar Perancis yang kita namakan “Para Dewa Seni Moden”. Karya-karya Rafiee yang bertindih-tindih elemennya, antara Nabis dan Fauvisim serta antara Timur dan Barat yang Rafiee sendiri jelaskan sebagai “Timeless Quality” melahirkan sesuatu yang baru, yang juga bersifat universal.
Gerakan kumpulan seni yang memanggil diri mereka sebagai “Les Nabis” (Gerakan Pasca-Impressionis Avant-Garde Perancis sekitar 1890an) tidak kekal lama dan tidak diketengahkan secara menyeluruh, ianya paling menyerlah dalam karya Paul Serusier berjudul “Talisman”. Paul Gaugin menjadi penasihat untuk kumpulan ini memperjuangkan falsafah “Les Nabis” yang mementingkan pendekatan pembacaan serta pemikiran dan praktik studio. Sehingga kini kita dapat melihat yang Rafiee Ghani masih mengamalkan praktik-praktik ini, dari buku-buku lakaran kecil Moleshkines berkulit hitam kepada lakaran berwarna yang lebih besar, untuk menguji warna, sebelum dikembangkan kepada lukisan pencil atas kertas atau cat minyak di atas kanvas.
Dari tulisan-tulisan tentang pengembaraan dan pencarian seninya di Asia, Australia, Eropah dan Amerika, serta perbualan dengan beliau, kita dapat tahu bahawa beliau adalah seorang yang suka membaca, samada membaca tulisan-tulisan tentang ilmu seni, falsafah serta sejarah atau membaca gambaran-gambaran kenyataan tampak dan symbol yang tersurat dan tersirat. Kepada seorang seniman yang mementingkan proses berkarya, sudah tentunya beliau begitu menghargai memori, pengalaman dan ekspresi, dan itulah yang dicurahkan ke dataran kanvas atau lataran kertas. Memori-pengalaman-ekspresi itulah yang disusun rapi dalam warna-warna pelangi yang segarnya menjulang dengan penuh buak jiwa dan rasa.
Matisse yang terkenal kerana penggunaan warnanya yang hidup, gah dan bersifat original serta kepakarannya dalam menggunakan warna-warna secara expresif, telah menjadikan beliau salah satu ikon utama dalam seni lukis moden, samalah juga sifatnya dengan Rafiee Ghani. Oleh kerana itulah Rafiee sering dilihat sebagai Matisse Malaysia di tahun-tahun 1980an. Walaupun karya-karyanya di dalam himpunan “Hanging Garden Series” lebih bersifat Abstract Expressionism, khalayak lebih mengingati beliau kerana himpunan karya dalam “Kebun Sultan Series”, “Le Jardin Series”, “Room of Flowers”, “Oriental Afternoon” dan “Painted Garden”. Sebagai pelukis yang berbakat besar dan terlatih, beliau juga pernah menghasilkan karya-karya cat air, cat minyak serta printmaking(etching) yang meneliti pemandangan, bangunan, still life serta figura. Tetapi karya-karya terkenalnya hanya menunjuk ke arah lukisan pemandangan dalam rumah(interior) dan luar rumah(exterior) yang tidak mempunyai unsur manusia, mungkin ini adalah pengaruh gerakan abstract expressionism di Malaysia pada ketika itu yang mulai menjauh dari lukisan figura hasil dari pengajian dan pengaruh guru-gurunya di Institut Teknologi Mara, pertandingan-pertandingan seni di Balai Seni Lukis Negara serta arus penerapan nilai Islam dalam kehidupan orang Melayu Muslim di Malaysia. Rafiee tidak langsung memasukkan figura ke dalam lukisannya pada tahun 1980an dan 1990an, berlainan dengan idolanya Matisse yang akan meletakkan figura-figura wanita di dalam ruang-ruang dalaman rumah. Jika dikatakan yang Matisse melukis dari alam, termasuk figura manusia dan “still life”nya, Pablo Picaso pula lebih berkarya dari imajinasinya. Rafiee pula membawa kedua-dua elemen alam dan still life serta imaginasi ke dalam karya lukisannya, iaitu gabungan imaginasi dan observasi. Rafiee tidak pernah dilabelkan sebagai pelukis Melayu Islam yang menampilkan karya-karya islamiknya kerana telah ada ikon karya islamik ketika itu, rakan baiknya, Yusof Ghani pula dilabelkan sebagai pelukis Abstract Expressionism Malaysia.
Rafiee Ghani pula sebenarnya adalah seorang seniman “Nabis Islamik” tanpa mengemukakan tulisan-tulisan khat khufi dan thuluth serta rekaan-rekaan arabesque di dalam karyanya. Sebaliknya, beliau berjaya menterjemah dan menampilkan sari kehidupan kebudayaan Islam di negara-negara Mediterranean yang saling mempengaruhi antara timur dan baratnya, seberang menyeberangi Laut Mediterranean, yang banyak persamaannya dengan kehidupan dan kebudayaan warga nusantara atau Malay archipelago yang sering dibilang orang perancis sebagai Asiatik (tidak termasuk orang Afrika dan Arab). Pengaruh-pengaruh ini bukan hanya lahir dari ketaksubannya kepada Para Dewa Seni Moden Perancis, yang kebanyakannya merujuk kepada Selatan Perancis, Negara-negara seberang Laut Mediterranean seperti Nigeria, Morroco dan Algeria serta kehidupan lain di Afrika dan Pasifik. Walaupun petunjuk dan pencarian mereka kepada suatu bentuk baru di dalam dunia seni di Eropah ketika itu bersifat Orientalis, mereka telah berjaya menemukan bentuk-bentuk serta warna-warna baru. Picaso sendiri mendapat idea mengembangkan bentuknya dari patung-patung di Africa. Pengembaraan dan penjelajahan juga telah membawa Rafiee Ghani ke Negara-negara Afrika dan Eropah, sebagai pengalaman baru kepada sebuah pencarian. Rafiee Ghani telah berhijrah, bekerja dan bermastautin di Seychelles(Afrika kecil di Lautan Hindi - 1,000 batu dari Afrika, 7 jam penerbangan dari Malaysia, beberapa jam ke Johannesburg, dua jam dari Mauritius) yang agak “isolated”, sama seperti negeri kelahiran ibunya, Kelantan. Kelantan, walaupun mempunyai sejarah kerajaan hindu-buddha Chih-Tu(Tanah Merah), Langkasuka, Chermin, Sri Wijaya, Majapahit dan hubungan dengan Chola, Angkor, dan Ayutthaya serta kemudiannya mempunyai hubungan yang rapat dengan kerajaan islam Champa, Pattani dan Melaka, menghasilkan karya seni Islam yang luar biasa dalam ukiran kayu, tenunan, songket, perak, emas, batik, permainan termasuk wau yang penuh aneka warna dengan mengabadikan ilham flora tanpa menampilkan figura manusia dan binatang di dalamnya. Warna-warna di dalam lukisan-lukisan Rafiee jelas membayangkan memori warna dari zaman kanak-kanaknya yang diabadikan dari warna-warna dan rekaan waunya, rebana ubi, wayang kulit, songket, limar, tenunan serta batik sarong. Melihat kembali zaman kanak-kanak dan remajanya ternyata ianya penuh warna, bukan hanya memori kereta merah ford milik ibunya, tetapi juga ketulan cat biru milik bapanya serta warna-warna pen magic di sekolan rendah.
Ternyata, memori inilah juga yang menjadi tunjang karya-karya terbaru Rafiee Ghani, “Rainbow Warrior” (Pahlawan Pelangi) yang melihat kembali zaman kanak-kanaknya melalui tubuh anaknya sebagai model utama. Ini pula mengingatkan saya kepada judul filem Hollywood pada tahun 1985, “Back To the Future” tulisan Robert Zemeckis dan Bob Gale, arahan Robert Zemeckis, lakonan utama oleh Michael J.Fox. Majoriti himpunan karya Rafiee Ghani di dalam “Rainbow Series” pula berkisar sekitar tubuh seorang kanak-kanak serta portret-portretnya yang bersifat spontan dan bersahaja tetapi punyai penuh gaya dan lagak(attitude). Sesekali kita melihat postur-postur tubuh kanak-kanak itu seperti sedang menari. Itulah yang pertama-tamanya menarik perhatian kita. Kita di Malaysia pernah dihidangkan dengan karya-karya yang terilham dari studi tentang tubuh dan tari seperti karya Amron Omar, Yusuf Ghani dan Sivanatarajah. Di Indonesia, karya-karya berunsur tari sejak zaman kolonial seperti Le Mayeur, Antonio Blanco serta pelukis Indonesia seperti Srihadi dan Affendi yang kini telah menjadi semacam tradisi lukisan tubuh dan tari. Di barat pula kita tidak dapat lari dari merujuk kepada karya-karya yang berunsur tari dari Edgar Degar, seperti karya “Dancers at the Bar” dan “ballet Rehearsal”. Tapi apa yang juga menjadi perhatian kita adalah karya-karya “Woman in Bath” oleh Edgar Degar yang hanya menampakkan bahagian belakang tubuh wanita serta studi-studi tubuh oleh Henri Matisse, Francine Van Hove dan Auguste Rodin.
Apa yang menarik dalam karya figura dan tubuh Rafiee Ghani kali ini adalah pemilihan kanak-kanak lelaki belum baligh sebagai sabjeknya, sekaligus seolah-olah menampilkan pendiriannya yang masih teguh berpegang kepada aliran Nabis islamiknya. Tetapi apa yang lebih menyerlah bukanlah hanya tentang studi gerak dan bahasa tubuh tetapi impian, harapan dan cita-cita seorang kanak-kanak. Bak kata Edward de Bono yang memperkenalkan “Lateral Thinking” dalam Pemikiran Kreatif, “Untuk menjadi kreatif, kita perlu menjadi seperti kanak-kanak kembali, kerana kita bebas berfikir dan berkreasi tanpa batasan-batasan yeng menyempitkan pandangan kita”. Di sini kita melihat Rafiee Ghani membiarkan dirinya membayangkan seorang kanak-kanak yang bebas berfikir dan bermimpi untuk menjadi apa saja yang dia mahu, dari menjadi seorang ahli bomba, pengutip bunga jasmin, pembisik bayang, pengamat alam, peniti buih ombak hinggalah menjadi seorang superhero yang ingin menyelamatkan dunia dari bencana. Meskipun begitu rupa impian, cita-cita, perasaan dan harapannya, bayang-bayangnya juga tetap melahirkan warna-warna seribu cahaya yang menjadi bekal hingga ke malam, kerana dia adalah seorang Pahlawan Pelangi.
3 comments:
rafie Ghani dah tukar subjet..tapi saya prefer subjek interior yang dulu...well anyway, hes one rich man.
Rich in what sense Saat?
Tulisan yang padu tentang Rafiee Ghani. Saya mengikuti pameran di G13 Gallery menerusi internet. Terima kasih,Tuan.
Post a Comment