Followers

Wednesday, May 23, 2007

Redza Piyadasa & Hamzah Husin


Permata Yang Hilang

Kita telah dikhabarkan dengan dua kematian, Allahyarham Hamzah Husin, 80 tahun, (1927-2007) seorang penulis - karyawan filem - sejarawan filem Melayu, meninggal dunia pada 21 April 2007 di Singapura dan Allahyarham Mohd Redza Piyadasa, 68 tahun, (1939-2007) yang lebih dikenali sebagai Redza Piyadasa, seorang seniman visual – sejarawan seni visual Malaysia – pengkritik seni – ahli akademik, meninggal dunia pada 7 Mei 2007 di Kuala Lumpur. Sesungguhnya kita telah kehilangan dua butir permata yang amat bernilai dalam dunia seni filem dan seni visual negara. Al Fatihah, semuga roh mereka dicucuri rahmat dan diberkati Allah.

Hamzah Husin yang pernah menjadi karyawan tamu di Institut Tamadun dan Alam Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia, Cathay Keris Singapura, FINAS dan Akademi Filem Malaysia, merupakan salah seorang pengasas kumpulan sastrawan ASAS 50 serta Angkatan Penulis Melayu Baru. Sebagai penulis, beliau banyak menyumbangkan tulisan-tulisannya kepada berbagai jenis majalah dan suratkhabar termasuk Utusan Melayu, Utusan Zaman, Mustika, Filem Malaya, Mingguan Hiburan, Mutiara, Fashion, Arena Filem, Hiburan Filem, dan Mingguan Raya di awal pembabitannya di tahun 1950an. Beliau juga terkenal dengan novel-novelnya seperti Tarikh Berlari Liar, Di Mana Terbitnya Matahari, Rumah Itu Duniaku.

Sebagai orang filem allahyarham paling terkenal dengan skrip lakonlayarnya dalam filem Mahsuri (1958), Tun Fatimah (1962), Rumah Itu Duniaku (1964), Patung Chendana (1965), Ikan Emas (1965), Gurindam Jiwa (1965), Anak Dara (1966), 2x5 Lima (1966) dan banyak lagi sehingga nama beliau menjadi sinonim dengan Filem Melayu Hitam Putih, dari Studio Keris Singapura hinggalah ke Studio Merdeka Kuala Lumpur. Beliau malah menjadi pakar rujuk kepada ramai sarjana-sarjana filem Melayu sekali gus digelar Perpustakaan Bergerak.

Redza Piyadasa pula pernah mendapat pendidikan seni di London's Hornsey College (1963-1967) dan University of Hawaii di Amerika Syarikat (1975). Beliau yang begitu prihatin terhadap dunia seni visual dan seni persembahan moden di Malaysia adalah juga salah seorang pengasas pertubuhan seni, Five Arts Centre bersama-sama Mendiang Krishen Jit dan balunya Marion D’Cruz. Pada tahun 1998, beliau telah menerima anugerah Prince Claus Award dari Belanda atas jasanya di dalam dunia seni visual antarabangsa. Karya tulisannya di Balai Seni Lukis Negara tentang perkembangan seni visual moden di Malaysia, Rupa Malaysia menjadi rujukan kepada para pengkaji seni visual.

Sebagai seorang seniman visual, karya media campuran dan kolajnya, Dua Wanita, yang dihasilkan pada tahun 1982 dikategorikan sebagai di antara karya-karya agung Balai Seni Lukis Negara. Sebagai seniman visual moden awal di Malaysia, karya-karyanya dilihat seperti begitu menekankan isu integrasi di kalangan bangsa Malaysia, sekali gus begitu menghargai pembentukan nilai-nilai ketimuran dan tradisi di dalam berkarya.

Pendekata, kita sebenarnya telah kehilangan bukan saja dua orang seniman besar di dunia seni visual dan filem tetapi juga dua penulis dan sejarahwan seni. Munkin inilah masanya untuk kita melihat kembali akan peranan penulis dan pengkritik seni yang sama-sama berjuang membela seni untuk bangsanya.

No comments: