Followers

Wednesday, November 28, 2007

ADA APA DI DBP

Mek Mulung & Teromba
Tarikh : 4 Disember 2007 (Selasa)
Masa : 8.30 malam

Randai & Bongai
Tarikh : 5 Disember 2007 (Rabu)
Masa : 8.30 malam

Tempat Persembahan : Laman Teater DBP.
Jalan Dewan Bahasa,
Kuala Lumpur.
(Di hadapan Stor Teater DBP)

BONGAI
Bongai adalah suatu kesenian yang tidak asing bagi masyarakat di Negeri Sembilan. Bongai boleh dikategorikan sebagai lagu-lagu tradisi untuk masyarakat Negeri Sembilan khasnya, dan Malaysia amnya. Bongai amat popular dalam masyarakat Negeri Sembilan suatu ketika dahulu, khususnya di dalam majlis keramaian yang melibatkan perkahwinan. Namun, dalam dekad 1980 an dan 1990 an, Bongai kurang mendapat perhatian daripada generasi muda, kerana saingan dengan lagu dan muzik moden yang semakin berleluasa ketika ini. Walau bagaimanapun, bagi masyarakat lama yang pernah mengalami dan merasai kehidupan dalam zaman kegemilangan Bongai, sekitar tahun-tahun sebelum 1970an, persembahan Bongai seolah-olah menjadi suatu nostalgia bagi mereka. Paling utama ialah, persembahan Bongai mempunyai keunikannya yang tersendiri dan telah diterima sebagai identiti lagu bagi Negeri Sembilan (mulai 1997) serta telah mula diterima oleh kebanyakan masyarakat di negeri ini.


Bongai akan dipersembahkan oleh kumpulan Bongai Kampung Purut, Negeri Sembilan di Laman Teater DBP pada 5 Disember 2007 mulai pukul 8.30 malam.

MEK MULUNG
Mek Mulung merupakan suatu adunan kesenian yang telah digabungkan dalam satu persembahan. Ianya terdiri daripada unsur- unsur lakonan, nyanyian, tarian dan muzik yang berasal dari mukim Wang Tepus, Jitra, Kedah Darul Aman. Seimbas lalu persembahan Mek Mulung kelihatan begitu mudah, namun ia tetap mempunyai keunikan yang tinggi nilainya. Nama mek Mulung berasal daripada perkataan ‘mek’ iaitu pada panggilan gadis- gadis, sementara perkataan ‘mulung’ pula ialah nama hutan tempat bermulanya persembahan ini. Mek Mulung dipersembahkan di dalam sebuah bangsal yang terbuka, tidak berlantai dan tidak berdinding. Ia terdiri daripada tiang, bumbung dan para sahaja. Di atas para inilah diletakkan semua peralatan ‘jamu’. Pelakon Mek Mulung kesemuanya lelaki yang memakai pakaian perempuan. Kebanyakan cerita yang terdapat dalam persembahan Mek Mulung adalah cerita- cerita yang dianggap benar dan pernah terjadi pada zaman dahulu.

Mek Mulung akan dipersembahkan oleh kumpulan dari Negeri Kedah bertempat di Laman Teater DBP pada 4 Disember 2007 mulai pukul 8.30 malam.

TEROMBA
Teromba adalah sebuah puisi tradisional yang popular di Negeri Sembilan. Teromba akan dipersembahkan di Laman Teater DBP pada 4 Disember 2007 mulai pukul 8.30 malam.

RANDAI
Intan Bagewang

Randai adalah sejenis teater rakyat yang popular di Negeri Sembilan dan ia menggabungkan seni persembahan muzik, nyanyian, tarian, drama dan seni persilatan. Randai lazimnya dipersembahkan di pesta-pesta atau majlis kesenian tradisional. Jalan ceritanya yang berangkai itu boleh sahaja memakan masa persembahan buat beberapa malam tetapi kini ia sudah dipadat dan disesuaikan. Randai dipersembahkan secara “Teater Dalam Bulatan” yang mana ia membawa maksud sebagai persamaan dan kesepaduan antara khalayak dan para pelakon. Persembahan Randai berupa sintesis yang bergantian antara adegan seni persilatan, tarian, nyanyian, dan lakonan. Cerita yang disampaikan melalui lakonan dan nyanyian berasal dari kisah-kisah rakyat Minang. Asalnya Randai dipersembahkan oleh orang lelaki sahaja, tetapi sejak 1960-an, orang wanita juga turut terlibat.

Randai yang berjudul “Intan Bagewang” akan diadakan di Laman Teater DBP pada 5 Disember 2007 mulai pukul 8.30 malam adalah persembahan Kumpulan Rang Budayo dari Negeri Sembilan.