Followers

Sunday, February 19, 2012

Kura-kura Binatang Pupus? Cintailah Binatang Makhluk Tuhan

Selamat Hari Cinta atau dalam Bahasa Inggerisnya, Happy Valentine's Day. Rasanya tak payahlah nak ceritakan asal usul Hari Valentine itu, walaupun ada kawan-kawan yang menghantar nota-nota tentang itu. Awal pagi lagi sudah ada mesej di telefon mobil saya "pastinya anda masih teringat di zaman remaja, gila-gila menyambut Hari Valentine, di zaman jahiliah!". Ada pula mesej dari kawan bukan Melayu mengatakan "I am sorry you can't celebrate Valentine's Day". Aku pun tak pasti dari mana fatwa dan arahan itu timbul, Jabatan Agama Islam di Jabatan Perdana Menteri, Mufti Negeri atau Pertubuhan Pemuda PAS(Parti Islam Se Malaysia). Tapi semuanya seperti mencari publisiti murahan, sekaligus memancing undi Melayu dan Islam, atau menolak undi Melayu liberal? Bagi aku, ini hanyalah pesta muda mudi, bukan perayaan ugama. Kenapa tidak mengharamkan acara krismas dan tahun baru untuk orang Melayu dan Islam. Lagipun Valentine's Day itukan hari menyambut rasa cinta, cinta pada kekasih, isteri, rakan-rakan, ibubapa, adik beradik, rakan sepejabat dan binatang, samada binatang peliharaan atau binatang liar!

Tapi binatang liar tak boleh dipelihara di rumah, nanti ditangkap Jabatan Mergastua! Melainkan anda sebuah Zoo. Sebenarnya ahli alam sekitar juga mengutuk penubuhan Zoo, sesuatu yang sudah ketinggalan zaman, lagi-lagi Zoo di negara ketiga yang sedih, letih dan jijik keadaannya.

Bercerita pasal cinta pada binatang, tiba-tiba pulak ada sebuah filem baru yang namanya "Cinta Kura-kura" tulisan dan arahan Nizam Zakara, seorang pengarah filem muda, katanya pernah mengarah drama-drama televisyen, tapi saya sendiri tak pernah menontonnya. Jadi tak tahulah rupa dan gayanya. Aku tahu dia pernah menulis cerita pendek dan novel, termasuk "Susuk" dan beberapa lagi. Rasanya bagus juga ada filem Melayu yang berbeza, sebab dah banyak sangat filem hantu, gangster dan rempit. Dah banyak sangat kebencian dalam masyarakat Melayu. Tiba masanya mencari cinta, yelah kalau tak dapat mencintai manusia biasa, cintailah binatang.

Pernah aku terbaca status di facebook "Make Love Not War". Aku plak nak tambah "Promote Love Not  Hate, Make Peace Not War". Amacama boleh tak?. Mungkin inilah mesej yang harus disampaikan pada warga Malaysia dan Melayu. Bak kata sorang kawan ni, Melayu di Malaysia dah pecah 1,000 bukan pecah 4 lagi macam bunga kiambang. Eh, apa hubungannya dengan cinta, binatang dan Melayu. Alah, inikan cerita Melayu, filem Melayu, Melayu plak sukakan binatang untuk dipelihara, ikanlah, ayamlah, burunglah. Cuma yang ini pelik sikit, pelihara kura-kura. Setahu aku adalah orang pelihara kura-kura, tapi saiznya kecil dua tiga inci besarnya. Yang ini kura-kura ajaib, saiznya agak besar, mungkin antara 8-12 inci. Yang lebih ajaib kura-kura ini boleh bercakap. Tapi kalau nak diikutkan burung tiong pun boleh bercakap, dulu bapak aku pun pernah mengasah lidah burung tu sampai boleh bercakap, tapi kena mengajarlah apa yang nak dicakapkan. Alah, Nabi Khaidir dan Nabi Sulaiman pun ada diriwayatkan bercakap dengan binatang, jadi orang Melayu dan Islam dah biasalah, tak ada hal!.

Aku ni bukannya seorang pengkritik filem, cuma tulis-tulis saja, sambil membebel, tapi bolehlah cakap antara yang aku suka dan tak suka. Memanglah aku bukan seorang pencinta filem komedi, terutamanya komedi Melayu. Kalau komedi P.Ramlee tu adalah, tapi tak pasti itu Komedi Malaysia atau Komedi Singapura, sebabnya filem-filem komedi P.Ramlee selepas dia pindah ke Malaysia dah agak kureng gitew! Kalau sekarang ni pulak filem-filem komedi Malaysia banyak yang slapstik atau orang kata lawak bodoh, dan lawak yang suka menjatuhkan orang lain. Filem yang satu ni plak mungkin boleh dipanggil komedi romantik. Kalau di Hollywood banyak filem-filem macam ni, mungkin di Hong Kong juga. Kalau di Bollywood unsur komedi tu dah dimasukkan ke dalam hampir setiap filemnya, macam Bangsawan. Dulunya watak2 macam ni dipanggil "court jester" atau peran, terutamanya dalam Wayang Kulit dan Mak Yong. Yelah kan aku ni bukannya sekolah filem, jadi tak reti nak komen filem lebih-lebih, cuma dari rasa, hubungannya dengan masyarakat dan ceritanya, yang best atau tak best. Kalau dari segi persembahan pulak aku rasa aku masih boleh menulis atau berkomentar tentang lakonan, pakaian, make-up, lampu, "artistic direction", serta perjalanan cerita.

Aku mulai menonton teater di KL ni sejak tahun 1985, selepas baru graduate dari ITM. Kalau Wayang Kulit, Mak Yong dan Dikir Barat tu sejak kecil lagi dah menonton. Kalau filem Melayu, kira dah lamalah menonton, dari tv ke panggung.

Aku tahu dah banyak filem macam ni kat Hollywood, macam-macam, tiap-tiap tahun ada, dari anjing, tikus, gajah, babi dan bermacam-macam binatang rekaan yang pelik-pelik. Pendekata ikut selera binatang apa kita nak tengok dari kreativiti masing-masing.

Bak kata orang2 filem, filem itu mengikut selera penonton, ada macam-macam genre, tema dan cerita. Aku plak bukannya suka sangat filem komedi, terutamanya komedi Malaysia. Mungkin kerana dah banyak kali tertipu dengan lawak-lawak bodoh yang slapstik atau yang menjatuhkan orang. Jadi menonton prebiu filem ini adalah sesuatu yang menarik, tidak membosankan. Tiba-tiba je teringin, lagipun hari tu Hari Cinta Sedunia. Maklumlah dah tua ni taklah giler sangat nak menyambutnya, so why not. Mari kita menyahut seruan cintailah binatang.

Sebenarnya di Malaysia pun kita dah lama ada persatuan cintai binatang, cuma mungkin lebih kepada hidupan liar, seperti yang dipromosikan oleh Malaysian Nature Society (http://www.mns.my) dan World Wildlife Fund Malaysia (http://www.wwf.org.my). Macama-macam kegiatan ada di sana. Projek selamatkan Tapir, Harimau, Badak Sumbu yang kian pupus dan berbagai lagi. Kalau nak bermesra dengan binatang jinak, pergilah ke kedai binatang peliharaan. Dalam filem Cinta Kura-kura ni pun ada cerita tentang kedai binatang peliharaan, cuma kedai ni ada udang di sebalik mee, dia juga melakukan kerja-kerja perniagaan binatang pupus dengan restoran Cina yang menghidangkan makanan eksotik.

Tak rasis dan klise ke bila kita kata restoren Cina saja yang menjalankan aktiviti sebegini? Yalah nanti dituduh berbagai plakkan. yelah mana orang Melayu makan makan pelik-pelik, otak monyet ke? otak anjing ke? Yang saya dengar banyak restoren sedemikian di Hong Kong. Saya juga tak pasti kenapa restoren cina tu nakkan kura-kura belaan orang, apakah khasiat dan keistimewaannya. Ye, tahu, kura-kura ada simbol panjang umur. Dikatakan China's Last Emperor's mother loved turtle sup. Mungkin kerana itulah agaknya!








Jujur Aku Dayus

Sebenarnya dah lama Aku tidak menonton drama tv, tetapi kerana inginkan bunyi ramai orang supaya tidak kesunyian aku memasang tv dan kerana tv Aku yg Sudah usang dan tak berantena ini yg menghasilkan bunyi dan rupa yang elok melalui saloran tv3, bukan tak Ada tv1, yelah Cuba bayangkan, rancangan apa yg menarik di tv1. Akhirnya Aku menonton Jujur Aku Dayus, sebuah drama yg baik premisnya. Lakonan oleh Nora Danish, Rozi Rashid, tahu sebab dia byk muncul dalam filem2 Yasmin Ahmad. Pelakon lelakinya Aku tak kenal, tapi heronya bagus, selalunya jadi budak jahat. Yang jadi bapak pun dah biasa dlm drama tv, pelakon tvlah! Tak ramai pelakon, cuma Lima orang, semuanya berkesan, ditambah pulak dgn lagu Beribu Sesalan nyanyian gabungan 3 penyanyi, Ning, jac & shila, menjadi latarbelakang tanpa tidak keterlaluan. Bukan macam sesetengah drama atau filem yg mcm bollywood plak. Sambil mengemas rumah, kemboja rak untuk perpustakaan dan mengeluarkan buku2 dari kotak2, sambil menonton.

Aku juga masih melankoli dgn berita yg kawan Aku, Nurul Husni, bekas pemilik Galeri Kebun Mimpi dan pilot MAS, meninggal mati lemas di Pulau Perhentian dan bakal dikebumikan di Alor Star esoknya.

Tiba2 tv Aku menjadi fuzzy, mungkin angin masih kuat, siaran mcm terganggu, jadi tak tahulah siapa pengarahnya, yg tahu cuma produsernya, Ziela Jalil, penulisnya Rohaya Ibrahim kalau tak silap. Korang tahu tak?

Ah Aku dah dapat Nama pelakon lelakinya, suami kpd Lis, Nora Danish, namanya Beto Kushairy, tak pasti plak Nama betul. Bapa Lis pulak dilakonkan oleh Hafifuddin? Tak pastilah dan bekas kekasih lama suami Lis, Aishah yg dilakonkan oleh Irma Hasmie. Sayangnya Aku masih tak dapat Nama Pengarah yg brilliant ni, lakonan byk terkawal dan tidak over, sebuah editing yg bagus. Tapi the star dlm drama ini adalah penulis skripnya yg bijak dgn membuatkan penonton membuat tekaan yg salah. Yg bijaknya, hanya penonton yg tahu, watak2 dlm nya masih keliru dgn peristiwa2 yg berlaku. Syabas

Wednesday, February 15, 2012

Anugerah Juara Lagu 26 (Muzik Muzik 2011)


Apa Ada Di AJL26? www.themalaysianinsider.com

February 05, 2012
5 FEB — Sudah beberapa tahun aku tidak menonton pertandingan akhir Juara Lagu, kerana tidak berada di dalam Negara. Selain menonton siaran langsung di TV3, aku juga pernah menonton persembahan di tempat berlangsung di Bukit Jalil. Tapi sekarang orang sudah boleh menonton di seluruh dunia melalui www.tonton.com.my. Tahun ini juga aku mengambil keputusan untuk menonton acara kemuncak industri muzik tanah air ini, walaupun di televisyen. Tahniah kerana terus kekal berada di dalam industri kreatif selama 26 tahun. Selalunya acara-acara tahunan di Malaysia tak kekal lama, terutamanya acara seni, seperti Kuala Lumpur Arts Festival. Mungkin inilah sebuah acara seni yang sebenar untuk orang Malaysia masakini, seni pop. Tapi bila menyebut sedemikian rupa, seni itu harus ada bukan saja pada muzik, senikata dan nyanyian, tetapi juga pakaian dan persembahan keseluruhannya. 
Di Hong Kong, Hong Kong Arts Festival akan menyambut ulangtahun ke 40 pada tahun ini. Manakala Singapura pula telah mula mengadakan Singapore Arts Festivalnya sejak tahun 1977, genaplah 35 tahun pada tahun ini. Pada tahun 2008, Singapore Arts Festival menjadikan air sebagai tema, sama seperti tema Anugerah Juara Lagu pada tahun ini. Video promo yang dihasilkan oleh Celcom lah juga yang menjadi daya penarik untuk aku menonton AJL pada tahun ini, kerana seperti ada sesuatu yang berlainan yang bakal terjadi. Malah video promo di dalam air itu mengingatkan aku kepada persembahan teater tari ekspresionis Jerman karya Pina Bausch (1940-2009) yang begitu terkenal di dunia seni kontemporari. Di dalam pementasan tersebut pada tahun 1981, seluruh pentas dipenuhi dengan air, malah terdapat curahan air di mana-mana dari lelangit pentas. Para penari harus menari dan bermain di dalam air selama dua jam. 
Apabila pengacara AJL26, Cheryl Samad bertanya kepada pengacara pasangannya, Faizal Ismail, ckenapa tema air?”, jawapannya, “kerana kita banyak taman tema air di Malaysia” dengan sebuah jawapan jenaka. Tetapi di dalam video promo “Di Sebalik Iklan AJL26”, ada beberapa cetusan idea yang disampaikan seperti kata Faizal Ismail sendiri “Air unsur yg baik, tubuh dan dunia penuh dengan air”. Hasni Yusof, pengarah iklan sendiri menjawab yang “air adalah sebagai sebuah tenaga”. Ning Baizura pula turut mengatakan yang “air sebagai sesuatu yang sangat simbolik, terutamanya pada seorang wanita, seperti air dalam kandungan ibu dan air yang menjadi sebahagian darah yang mengalir”. Pendekata tema air sudah diperjelaskan di situ. Tapi apakah cita-cita menjadikan air sebagai tema terlaksana? 
Pada aku, kita di Malaysia juga sebenarnya dihubungkan dengan air, di antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung, Pulau Pinang serta pulau-pulau lain yang penting buat kita. Air pula sememangnya asas kehidupan, tanpa air, keringlah kita. Tetapi air juga membawa bencana seperti tsunami yang berlaku di Aceh, Jepun dan banjir yang baru melanda negara Thailand. Pendekata itulah salah satu unsur kejadian, selain tanah, api dan angin. Sayang, ini semua tidak pernah diucapkan. Atau mungkin itu terlalu akademik? Rasanya tidak, rakyat Malaysia pun semua dah berpendidikan. 
Segmen pembuka tirai selalunya menjadi penentu sesebuah acara, samada ia memberansangkan atau tidak. Persembahan dimulakan dengan sebuah tribut yang menampilkan Jamal Abdillah sebagai Raja Pop, Awie Wings sebagai Raja Rock dan Shiela Majid sebagai Ratu Jazz. Cuma aku kurang jelas dengan konsep pemenang-pemenang AJL yang lalu. Aku juga tak pasti yang irama jazz pernah menjadi salah satu irama yang dipertandingkan. Malah seingat aku, Shiela Majid tidak pernah masuk ke peringkat akhir. Kalu tidak aku pastilah tahu, kerana irama jazz dan “Rhythm & Blues” adalah irama kegemaran sejak berada di kampus pengajian tinggi. 
Yang lebih melucukan, M.Nasir yang bukan hanya seorang komposer rock dan balada, tetapi juga seorang penyanyi yang memperkenalkan irama pop-ethno atau irama Malaysia, langsung tidak disebutkan, apalagi bila orangnya sudah berada di depan mata. Sayang sekali! Yang lebih pelik lagi Sti Nurhaliza, yang banyak menggondol banyak anugerah di AJL langsung tidak diundang membuat persembahan. Dia seharusnya seorang Ratu Pop yang tidak harus ditinggalkan. Jikalah empat penghibur ditampilkan cukuplah untuk menzahirkan konsep Tanah, Air, Api dan Angin. 
Walaubagaimanapun, persembahan Jamal Abdillah mendendangkan lagu “Senandung Semalam” cukup memukau, malah mengingatkan aku pada klip video Raja Pop, Michael Jackson, “Thriller”. Jamal juga sudah siap berjaket, bersarung tangan dan bertopi, disulami dengan asap, hujan dan kilat sabung menyabung. Sayang sekali tidak ada gadis-gadis dan jejaka-jejaka yang bangit dari kepulan-kepulan itu. Ini tepat sekali mewakili konsep tanah dan air. 
Persembahan Awie dgn rambutnya yang mengerbang dan angin yang bertiup, membelaia sekaf merahnya, dengan aura warna pentas yang merah amat menarik sekali. Kontinuiti berwarna merah pada baju Shiela Majid pula seperti mewakili api. Cuma sayang, aku tak berapa pasti apa yang ditarikan atau dilakukan oleh penari-penari di sekelilingnya. Secara umum, kesemua lagu-lagu yang dipertandingkan agak unik dan menarik untuk didengar, dari lagu-lagu rock seperti “Wanita Seluruh Dunia” nyanyian Projek Pistol, “Karma” oleh Faizal Tahir dan “Gadis Semasa” nyanyian and Yuna, irama pop alternatif seperti “Adinda Kekanda” persembahan Monolog dan Atilia, “Cinta Muka Buku” oleh Najwa Latif, “Penakut”nyanyian dan ciptaan Yuna dan “Sungai Lui” persembahan Aizat. Yang peliknya saban tahun AJL ini menjadi seperti sebuah pertarungan persembahan penyanyi-penyanyi menyanyikan lagu secara “live”. Bukankah kita sepatutnya meraikan pencipta lagu? Bagaimana pula dengan pengiktirafan terhadap penulis lirik? Anugerah tersebut telah hilang dari pertandingan. 
Lagu “Kalau Berpacaran” dendangan penyanyi puisi era 1970an Sohaimi Mior Hassan, Ana Rafali dan Ultimate Rapper, kelihatan seperti sebuah percubaan menghasilkan irama baru melalui gabungan tiga gaya berbeza, tetapi didominasi irama 1960an. Tiga buah lagu lain yang dipertandingkan, “Awan Nano” nyanyian Hafiz, “Beribu Sesalan” persembahan gabungan Ning Baizura, Shila Amzah dan Jacquiline Victor, “Sedetik Lebih” yang didendangkan oleh Jac serta “Kisah Hati” nyanyian Alyah, boleh dikatakan sebagai lagu-lagu pop balada yang sudah menjadi kebiasaan untuk tercalon di peringkat akhir, malah berpotensi untuk menjadi juara. Cuma sejak beberapa tahun kebelakangan ini irama pop urban, rap, hip-hop dan rock alternatif menjadi pilihan. 
Penjurian 12 belas lagu yang dipertandingkan melalui pengundian oleh 30 orang juri dari kalangan pencipta, penulis dan produser lagu yang diketuai oleh Azmeer dengan menggabungkan nama-nama besar seperti Jennifer Thomson, Fauzi Marzuki, Susan Goh, Ajai, Johan Nawawi dan lainnya, mungkin dilihat sebagai suatu perubahan baru untuk hala tuju industri muzik. Sekaligus mengumpulkan mereka bersama untuk sama-sama berfikir, apakah arah seterusnya untuk industri muzik di era teknologi informasi ini? 
Juara lagu pada tahun ini, “Awan Nano” ciptaan M.Nasir dan lirik oleh Budi Hikayat, mendapat hadiah RM35,000. Lagu “Beribu Sesalan” ciptaan Kevin Chin pula menyandang Naib Johan dengan hadiah RM15,000, manakala lagu “Karma” ciptaan Audi Mok bule mendapat tempat ketiga dengan hadiah RM12,000. 
Hafiz AF(Akademi Fantasia) dari Sarawak memenangi anugerah Vokal Terbaik melalui lagu dendangannya, “Awan Nano”, yang tidak kurang menarik persembahannya melalui penampilan penyanyi dangdut Malaysia, Herman Tino, di dalam tayangan video yang dipaparkan. Penampilannya yang bersahaja, dengan berkaki ayam, berbaju tee, dan bercelana trak, mampu menarik perhatian dan menumpukan persembahannya kepada vokal. Sebelum ini pun kita pernah melihat persembahan Maizurah Hamzah, Eliana dan Ning Baizura berkaki ayam. Apakah penampilan sebegini rupa boleh menjadi representasi kaum petani dan penduduk luar bandar? Atau ianya boleh merepsentasikan golongan urban yang melihat fesyen catwalk di Paris dan Milan sebagai rujukan untuk bergaya? 
Rasanya banyak persembahan yang menarik dalam AJL26, dari Projek Pistol yang simple bersahaja, Aizat yang menampilkan projeksi video “seni pasir”, sesuatu yang baru di Malaysia, Faisal Tahir yang tampil gothic dramatik, Jac dengan busana yang begitu sensuous dengan penampilan piano, alat muzik bertali dan dibelakangi kumpulan koir, seperti sekumpulan penyanyi gospel di Amerika. Persembahan Alyah dalam lagunya “Kisah Hati” menjadi satu tanda tanya buat aku, bukan kerana bajunya tak cantik atau suaranya hancur, tetapi pengarahan yang membingungkan, dengan seorang badut yang membaca doa “Alif Ba Ta” beberapa kali untuk memulakan pergerakan patung yang bernyanyi. Yang peliknya aku tidak pasti macamana tiba-tiba patung itu bergerak tanpa sebarang desakan. Atau mungkin Remy Ishak yang tiba-tiba muncul menjadi penggerak patung yang kaku untuk bergerak. Apapun, Alyah dianugerahkan sebagai persembahan terbaik dan menerima RM10,000. 
AJL26 juga mencatatkan momen-momen yang unik seperti persembahan Monolog dan Atilia yang berpakaian tradisi siap dengan tanjak, kot dan sampin labuh, manakala Atilia berbaju kebaya songket bunga tabur, dengan iringan alat muzik angklung dan sekumpulan marching band, menjadikan persembahan menarik, walaupun lagunya agak hambar. 
Yuna yang tampil berbeza di dalam kedua-dua buah lagu “Gadis Semasa” dan “Penakut”, menyuntikkan elemen muzik James Bond dalam di dalam prelude lagu “Gadis Semasa”. Cuma agak terperanjat melihat beliau menampilkan imej glam-muslim, siap dengan bulu mata lentik, baju-baju berjemaki dan dihiasi assesori. Beberapa tahun lalau sewaktu beliau mula-mula muncul ada suara-suara yang bertanya “selama mana Yuna akan bertahan di dalam industri dan tidak menjadi “glamour girl”. Malah aku sendiri tertanya-tanya “Perlukah Yuna, yang bersuara simpel, sempoi, santai dan bersahaja, mengikut jejak penyanyi-penyanyi wanita Malaysia yang suka menyanyi dengan suara nada tinggi dan membawakan imej glamor? Kerana di saat dia berubah dari gaya asalnya yang tersendiri, dia harus mula memikirkan gaya persembahannya. 
Malam gilang gemilang itu diakhiri dengan sebuah persembahan tribut untuk penyanyi penuh inovasi, Allahyarham Sudirman, melalui lagu-lagunya “Hidup Sederhana (Basikal Tua)”, “Balik Kampung”, “Chow Kit Road” dan “Salam Terakhir”. Yang sedihnya penyanyi-penyanyi yang digandingkan, Hazama, Black dan Lan Typewritter seperti tidak memberikan persembahan yang terbaik. Walaupun mereka tidak bertanding di dalam AJL, seharusnya para penyanyi generasi baru ini memberikan perhatian dan kesungguhan yang lebih, juga sebagai tanda hormat pada penghibur generasi terdahulu. Para penari latar di akhir persembahan seperti kehilangan arah dan tidak membantu nilai persembahan. Bak kata orang dulu-dulu “Buat Perabih Boreh”.
* Pandangan yang diberikan di atas hanyalah pandangan penulis.