Followers

Wednesday, February 18, 2009

Ibrahim Hussein

Perginya Seorang Pengagum Astronault

Dr.Zulkifli Mohamad, ASWARA

Pada jam 12.30 malam semalam, saya mendapat pesanan ringkas(sms) di telefon tangan(hp) saya yang menyatakan yang Ibrahim Hussein, seniman seni visual tersohor itu sedang sakit tenat di Pantai Medical Centre di Bukit Pantai Kuala Lumpur dan semuga beliau selamat sembuh. Pada jam 6.30 pagi, Khamis 19 Februari 2009, satu lagi sms menyatakan Dato’ Ibrahim Hussein telah selamat kembali ke rahmatullah. Al Fatihah untuknya, semuga rohnya ditempatkan bersama-sama orang-orang yang mulia. Sesampai di ofis, saya meletakkan berita “Al Fatihah Untuk Ibrahim Hussein yang melukis “My Father and the Astronault” dan menyedari saudara Fauzin Mustafa sudah meletakkan Al Fatihah….. Sedang berfacebook bersama kawan-kawan yang mengenali allahyarham Ibrahim Hussein yang mesra dipanggil Ib serta kawan-kawan yang mengagumi beliau, sekadar mengenang kembali karya-karya beliau. Seorang rakan di surat khabar sempat menyatakan yang dua editor, Sastera dan Berita, berebut untuk menyiarkan berita kematian di ruangan masing-masing. Fikir saya, eloklah di ruangan berita hanya berita kecil tentang kematian dan di ruangan sastera cerita tentang kisah hidup beliau.

Pada saya, apabila menyebut nama beliau, saya teringatkan lukisan “My Father and the Astronault” yang pernah dipamerkan di Balai Seni Lukis Negara di Hotel Majestik pada tahun 1986. Waktu itu saya sedang menjadi pemilik gerai kecil di Central Market berdekatan AP Galeri milik Allahyarham Rahime Harun dan Puan Zarina Ariffin. Lukisan itu membuatkan saya berfikir tentang seni, tentang bangsa kita dan ke mana kita selepas ini. Teman saya memberitahu yang dia ada bergambar bersama Ibrahim Hussein dan lukisannya “My Father and the Astronault” semasa membuat liputan akhbar. Kita saling bercerita tentang beliau, “pada saya lukisan tersebut banyak membuka mata saya tentang sebuah karya seni yang seharusnya berkata-kata kepada kita, ke manakah Melayu selepas ini?”. Sesungguhnya beliau sudah memberi jasa pada kita dan pada bangsanya dengan hanya memberikan sebuah pertayaan yang tersirat.

Ibrahim Hussein yang dilahirkan pada 13 Mac 1936 di Sungai Limau, Yan, Kedah. menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu di Yan dan kemudiannya menyambung pelajarannya di Nanyang Academy of Art di Singapura. Beliau menerima biasiswa menyambung pelajaran di England di Byam Shaw School of Drawing and Printing, London dari tahun 1959 hingga tahun 1963, seterusnya ke Royal Academy School, London selama 3 tahun. Pada tahun 1973 beliau memulakan kerjayanya sebagai residen artis di Universiti Malaya. Allahyarham juga mempunyai dua saudara yang juga berada di dalam bidang seni, Dato' Abdullah Hussein dan Tan Sri Ismail Hussien dalam bidang penulisan.

Antara pameran-pamerannya termasuklah di John Whibley Gallery, London (1963), Gallerie Internationale, New York (1965), Galeri Seni Takashima, Tokyo (1989), Galeri Seni Takashima, Osaka (1989), Museo National de Bellas Artes, Santiago, Chile (1991), Forum Ekonomi Sedunia di Switzerland (1994), Solidaridad Galleries 1969, 1977 Dhait Abdullah Al Salam Gallery Kuwait, Daruma Art Centre Copenhagen 1983, Galerie Bortier in Brussels, Galerie Kaleidescoop in Ghent.

Allahyarham Dato' Ibrahim Hussein telah dianugerahkan 'Crystal Award World Economic Forum', Switzerland(1997), Darjah Kebesaran Dato' Setia Diraja Kedah (D.S.D.K) (1996), 'Order of Bernado O' Hinggings, Chile' (1995), Darjah Dato' Paduka Mahkota Perak (1991) dan 'Order of Andres Bello Venezuela' (1993), Fulbright Scholarship, XVIII Prix International D'Art Contemporain de Monte Carlo 1984, Japan Foundation Cultural Award 1988. Satu lagi penghormatan terhadap pencapaiannya di peringkat antarabangsa adalah pengabadian namanya pada galeri dan pusat seni di Langkawi Muzium dan Yayasan Kebudayaan Ibrahim Hussein, yang dianugerahkan oleh Perdana Menteri Malaysia Ke-empat, Tun Dr.Mahathir Mohamad. Antara usaha yang telah dijalankan oleh yayasan ini adalah menganjurkan Festival Seni Antarabangsa Langkawi.[1]

 

Sebagai seorang anak Kedah-Langkawi yang prominen di dalam dunia seni lukis, beliau mengimpikan Ibrahim Hussein Museum and Cultural Foundation sebagai sebuah pusat seni antarabangsa yang tersohor di dunia, menjadi tempat berkumpulnya seniman-seniman luar Negara yang datang bergaul dengan seniman tempatan, dan untuk seniman kita pula menjadi lebih terbuka dan menimba ilmu dari seniman dunia yang telah berjaya. Seseungguhnya usaha ini amatlah diperlukan di Negara ini, dan cita-cita beliau amatlah dihargai, tapi apakan daya, ajal maut di tangan Allah. Seterusnya kita bertanya “apakah akan ada sebuah pusat seni yang sebegitu rupa selepas pemergiannya”. Semasa penubuhannya, Dato’ pernah menyatakan betapa susahnya beliau mencari sokongan untuk penubuhan sebuah pusat seni sedemikian rupa serta penerusan usaha-usaha beliau[2].

 

Sememangnya beliau seorang seniman modenis yang mempunyai cita-cita yang tinggi, bukan hanya untuk dirinya tetapi untuk anak bangsanya. Mungkin beliau lebih dikenali di luar Negara, tetapi namanya tetap harum di mata anak bangsa. Gaya lukisannya yang bersifat abstrak sekaligus futuristik mempunyai jalur-jalur halus yang begitu terpadu dengan ekspresi warna-warnanya serta emosinya. Banyak karya-karyanya dimiliki organisasi korporat dan kerajaan di dalam dan luar negeri.

 

Di dalam beberapa temuduga yang diberikan dengan pihak akbar, Ibrahim Hussein menyebut yang karyanya “May 13, 1969” lah yang telah memberikan tumpuan kepadanya. Mungkin ramai yang beranggapan bahawa beliau seorang yang terpengaruh dengan politik, sehingga beliau hampir diberkas dan dipenjarakan kerana sentimen politiknya di dalam “May 13, 1969”[3]. Beliau dipanggil oleh Allahyarham Tun Abdul Razak untuk menjelaskan pendirian dan pemikirannya di dalam “May 13, 1969”. Beliau dituduh merendahkan martabat Bendera Malaysia. Tetapi pada hakikatnya, beliau telah menjumpai bendera tersebut yang terbiar di atas tanah, kemudiannya menjadikan bendera itu sebagai kanvas untuk luahan karya seninya. Karya tersebut akhirnya dibenarkan untuk pameran. Jelasnya “orang sering terkejut dengan apa yang jarang mereka lalui, tetapi jika anda benar-benar tulus dengan apa yang anda lakukan, anda akan mengatasi segalanya kerana anda seorang yang berani dengan keyakinan diri anda”.

 

Apabila ditanya tentang bentuk karyanya, beliau menegaskan yang beliau sendiri menemui bentuk yang dipanggil “printage” melalui sebuah proses pencariannya, iaitu gabungan dua proses, “printing” dan “collage”. Idea tersebut tercetus sewaktu beliau berada di New York, di mana dia dikelilingi oleh papan-papan iklan (billboards) yang mempunyai warna-warna yang terang. Tetapi apabila beliau berhijrah ke Langkawi, beliau banyak dipengaruhi oleh alam sekitar disekelilingnya seperti hutan hujan tropical, batu batan dan gunung ganang. Ibrahim Hussein juga menyifatkan karya-karya lukisannya sebagai “spontaneous” dan mengikut keadaan setempat.[4]

 

Sesungguhnya, pemergian Ibrahim Hussein ditangisi seluruh anak bangsa yang mencintai seni dan budaya. Al Fatihah. Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Pusara Bukit Kiara selepas zohor, Khamis, 19 Februari 2009.

 



[1] www.mykedah2.com

[2] www.best-of-langkawi.com

[3] www.neosentuhan.com

[4] www.kakiseni.com

1 comment:

Arief Afandi said...

Hello there, i'm arief and now i'm doing an art project based on late Ibrahim Hussein's paintings. do you know the name of his painting that i've uploaded in my blog under the post 'I'm lost in Ib's puzzle...'. i've got the photo from internet but i don't know the name. im desperately need to know the name of the painting. hope you can help me. Thank you for your time!