Followers

Friday, December 5, 2008

Perginya Seniman Negara





Seniman Negara Syed Alwi, selamat dikebumikan di Perkuburan Islam Bukit Kiara, dekat TTDI KL pada 1 Disember 2008. Al Fatihah, semuga rohnya dicucuri rahmat. Allahyarham adalah antara penggiat teater yang melalui dua zaman iaitu zaman penjajahan serta zaman kemerdekaan dan banyak menghasilkan karya yang mantap dan mempunyai impak khususnya dalam memperkatakan isu-isu berhubung bangsa Melayu. Allahyarham adalah di antara seniman yang mampu berkarya di dalam dua bahasa, Melayu dan Inggeris. Syed Alwi dianggap sebagai tokoh terkemuka yang mengangkat martabat teater tanah air daripada corak purbawara dan bangsawan kepada corak yang lebih bersifat kontemporari. Antara karyanya yang pernah memenangi pelbagai hadiah termasuklah drama Alang Retak Seribu (1973), Tok Perak (1974) serta dua drama berbahasa Inggeris "I Remember The Rest House" (1992) dan "Member of The Club" (1994). Syed Alwi adalah pengasas Kumpulan Teater Seni Malaya (Malayan Art Theater Group) pada tahun 1951, yang kemudian bertukar menjadi Malaysian Art Theater Group. Allahyarham pernah mengarah dan berlakon dalam beberapa pementasan teater terkenal antaranya Midsummer Nights (Starveling), Androcles and the Lion (Slave) dan Henry V (Duke of Bedford) sehingga 1953.

Beliau melanjutkan pelajaran ke University of Minnessota, Amerika Syarikat dalam bidang teater dan kewartawanan serta merupakan anak Melayu pertama yang melanjutkan pelajaran ke luar negara dalam bidang berkenaan.Syed Alwi pernah menerima Hadiah Pelajaran Tabung John D. Rockefeller III untuk mengkaji perkembangan teater dan filem semasa di Amerika antara April dan Jun 1980.Anak kelahiran Taiping, Perak ini mendapat pendidikan asas di Sekolah Melayu Pondok Tanjung dan Sekolah Taiping.

Syed Alwi juga pernah bertugas dengan RTM, TV3 dan NTV7 sebagai pengurus, penerbit, pelakon, penulis dan pengarah selain pernah bertugas dengan Filem Negara, Panggung Negara, Akademi Seni Kebangsaan, Universiti Malaya dan Pejabat Penerangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Beliau diisytiharkan sebagai penerima Anugerah Seni Negara pada 19 September 2002, iaitu satu penghargaan dan pengiktirafan tertinggi kerajaan kepada penggiat seni negara. 

No comments: