Followers

Monday, July 23, 2007

TUBUH YANG BERBICARA





Mulai 20-22 Julai, Stor Teater Dewan Bahasa dan Pustaka menampilkan persembahan teater Selipar Jepun. Ruang seni persembahan yang selalu menyengat ini, tidak jemu-jemu menampilkan naskah dan karya yang lain dari yang lain. Bak kata Wahab Hamzah “stor ingin menjadi ruang alternatif untuk pembikinan teater baru serta naskah-naskah baru dalam teater di Malaysia. Malah sejak kebelakangan ini stor teater sudah mulai menampilkan teater bukan Melayu juga serta gabungan yang melambangkan masyarakat majmuk”.

Pengarah Selipar Jepun pula menyifatkan ruang stor teater ini sebagai ruang yang penting untuk experimentasi serta ruang laboratorium untuk penggiat teater. “Pertama kali masuk ke stor teater DBP ini saya diberikan ruang serta peralatan-peralatan secara percuma. Dengan bantuan rakan-rakan teater seperti Hamzah Tahir, Mazlan Tahir, Azahan Rani, Shahrul Fitri, Dr.Kipli Rahman, Mek Nab dan Dalang Zakaria, kami mempersembahkan Tanah Serendah Sekebun Bunga pada tahun 2004 tanpa sebarang bajet”.

Kali ini pengarah Selipar Jepun mengatakan yang beliau mendapat sokongan padu dari rakan-rakan teater yang begitu komited seperti Rosnani Seman sebagai dramaturgi, Zamri Mohamad sebagai pengurus pentas, Hafiz Husin sebagai penata cahaya, Hafiz Askiak, Dikir Putera Perdana dan Prodigy dalam rekaan muzik, korus (Intan, Iswazir, Fina, Alif), Azreen sebagai penata busana dan rias serta penampilan artis grafik Foo Chi Wei sebagai penghibur kabaret. Beliau juga menyatakan rasa terima kasihnya kepada pengarah pusat kebudayaan, Prof Md.Anis Md Noor dan penyelaras drama, Prof.Madya Said Halim yang membenarkan beliau mengambilkira karya Selipar Jepun sebagai aktiviti pusat kebudayaan.

Pelakon utama Selipar Jepun, Mohd Shahrul Mizad atau lebih dikenali sebagai Ijat terpaksa berhempas pulas menyempurnakan sebutan-sebutan dialog dalam dialek Kelantan. Ijat membawakan dua watak utama dalam teater ini, Yee Aji Whe dan Kamilah, begitu juga dengan Marlenny Deen Erwan yang membawakan watak Che Kenanga dan Che Hassan.

Mohd Shahrul Mizad yang di Johor dalam tahun 1972 adalah pemegang Diploma Teater dari Akademi Seni Kebangsaan (ASK) dan kini menjadi pensyarah sambilan di ASWARA. Beliau dikenali ramai kerana lakonannya dalam teater dan drama tempatan seperti Monodrama "Lembu", Monodrama "Bila Bulan Menangis", "Jangan Bunuh Sam", "Silang Kata", "Split Gravy On Rice", Beliau juga sudah berlakon dalam bermacam-macam bentuk teater, dari Mak Yong, Bangsawan, dan Randai ke Shakespere dan drama moden, termasuk juga drama muzika "UDA & DARA" dalam bahasa Inggeris. Penampilannya dalam drama televisyen "Sutun 1” dan “Sutun 2" yang disiarkan pada awal tahun ini meletakkan beliau sebagai salah seorang pelakon berkaliber. Beliau juga mulai mengarah beberapa buah persembahan teater seperti “Singgah” dan "Sebenarnya" .

Marlenny Deen Erwan yang membawa watak Che kenanga dan Che Hassan, berbangsa Dusun, anak jati dari Ranau, Sabah. Beliau merupakan graduan Seni Persembahan (Drama) dari Universiti Malaya dan Diploma Penulisan dari Akademi Seni Kebangsaan. Sejak 1998, lebih 40 produksi teater telah disertainya sama ada dalam bidang pengurusan, lakonan dan pengarahan. Sebagai penulis, sudah menghasilkan Nur, http://www.puterigunungledang.com/, Hukuman Pasti, No Smoking Please, Bangsawan Laila Majnun, Dari M ke M dan terbaru Melati & Melur. Manakala drama televisyennya yang telah disiarkan termasuklah Haryati II dan slot-slot Dilema Wanita. Dalam bidang lakonan, Marlenny telah meraih anugerah Pelakon Wanita Terbaik Festival Teater Malaysia 2003 (Dewan Persidangan arahan M.Nasri Ayob) dan Pelakon Wanita Terbaik Festival Teater Antara Universiti Malaysia 2005 (Selendang Sakti arahan Roselina Khir). Beliau yang begitu meminati bidang teater tradisional kini sedang melanjutkan pengajian Sarjana di Universiti Malaya.

Teater yang mengisahkan pertemuan dua orang insan, Che Kenanga dan Yee Aji Whe di dalam perjalanan bas ekspress Kota Bharu-Singapura-Kota Bharu ini banyak berkongsi kisah hidup dan suka duka yang dilalui, termasuklah pertemuan mereka dengan Kamilah, seorang penghibur cabaret di kelab malam di Bugis Street dan Che Hassan, tahanan perang Buruh Keretapi Maut sewaktu perang Dunia Kedua.

Teater yang berinspirasikan teater tradisional Mak Yong yang dimodenkan ini menggabungkan elemen mono drama dan muzikal, ia menyaksikan gubahan semula lagu-lagu popular 1970an dalam irama dikir barat.

Svarnabhumi Studio yang menampilkan persembahan ini, memulakan latihan mereka sejak dua bulan lalu, dimulai dengan latihan berdialog dalam dialek Kelantan, diikuti dengan gerak tubuh dan nyanyian dalam gaya dikir barat. Sememangnya, gabungan dikir barat, konsep Mak Yong dan lagu-lagu pop 1970an menghasilkan suatu gaya baru di dalam bercerita, apalagi apabila bahasa yang dituturkan begitu berbeza dengan teater-teater Melayu moden yang sedia ada. Sememangnya ia banyak mencabar gaya pengucapan, ekspresi dan gerak tubuh, tetapi cabaran seterusnya terletak kepada penonton untuk menghayati dialog, nyanyian dan gerak tubuh yang penuh makna.









1 comment:

Bin Basra said...

sorry la zul sebab tak dapat turun kl untuk tengok selipar jepun you tu. i sibuk jadi juri festival teater pulau pinang yang akan berakhir pada 31 julai nanti. so, memang tak sempat nak turun kl sebab setiap selang satu malam kena tengok teater kat sini. ide you nak bawa selipar jepun ke penang tu menarik gak tapi i tak de budget nak tanggung. tapi kalau melalui pp.seni i kena bincang dengan dr. hardy dulu sebagai pengerusi rancangan. mungkin ada slot kat bewan bedaya usm yang boleh diisi. insyallah nanti i tanya-tanyakan. masa kaat eastern europe dulu tak de la plak bertembung dgn group kebudayaan. mungkin berselisih kot.