Followers

Monday, September 3, 2007

Industri Kreatif Negara



Industri Kreatif Negara

Ramai di antara kita yang masih belum membuka mata untuk melihat pertalian dan hubungkait antara apa yang dipanggil sebagai dunia hiburan dengan dunia budaya dan pelancungan. Dunia hiburan yang penuh glamour atau sering digelar sinis oleh para seniman Indonesia sebagai “Dugem” atau Dunia Gemerlapan, dilihat sebagai memiliki industrinya yang tersendiri.

Di Malaysia, dunia hiburan ini merangkumi industri perfileman dan industri muzik, yang dulunya dipanggil industri piring hitam, manakala industri televisyen pula seperti terpisah, padahal orang-orang yang terlibat di dalam ketiga-tiga industri ini boleh dikatakan orang-orang yang sama.

Selain industri hiburan yang penuh dengan dunia glamour dan selebriti, kita juga sudah ada industri pengiklanan yang begitu besar sumbangannya kepada perkembangan ekonomi and kreativiti Negara, malah banyak juga syarikat-syarikat pengiklanan antarabangsa seperti Lintas Lowe, McCann Erickson, Leo Burnet, J.W.Thompson, Dentsu dan banyak lagi yang menjalankan perniagaan di Malaysia. Di dalam industri ini juga, mereka banyak menggunakan bakat-bakat untuk memenuhi iklan mereka termasuk selebriti-selebriti televisyen, filem and muzik.

Sejak kebelakangan ini pula sudah lahir bakat-bakat pengarahan seperti Yasmin Ahmad yang terjun ke dunia perfileman. Ini menjadikan beliau sebagai seorang yang menggabungkan dua dunia industrinya dengan daya kreatifnya sebagai seorang pengarah filem dan pengarah filem iklan, begitu juga dengan Saw Tiong Hin. Mungkin ramai lagi nama-nama penting di dalam industri pengiklanan, dari penulis skrip, jurukamera, editor filem, juru grafik dan sebagainya yang bergiat di dalam lebih dari satu industri. Shuhaimi Baba dan Adman Salleh juga adalah dua orang pengarah yang berpindah-pindah dari dunia perfileman ke televisyen dan sebaliknya.

Pendekata, industri-industri kreatif ini sudah tidak ada halangan-halangan, perantara atau sempadan yang menyempitkan daya kreativiti seseorang artis, seniman atau artisan. Mungkin sudah tiba masanya kita mengiakan keujudan suatu industri yang agak baru diperkatakan di Asia, Industri Kreatif, kerana ini akan membuka lebih banyak peluang kepada artis, seniman, artisan serta pengurus seni dan budaya.

Industri pelancongan yang mula menjadi suatu fenomina besar dalam kehidupan orang Malaysia sejak persidangan CHOGM dan Visit Malaysia Year 1990, bukan saja membuka peluang kepada rakyat Malaysia untuk mengenali dunia luar, tetapi lebih mengenali dunia sendiri, sekali gus menjadi sebahagian daripada industri yang kian pesat membangun ini.

Kini kita semua sudah menyedari yang budi bahasa dan budaya kita bukanlah setakat slogan tetapi merupakan aset penting di dalam industri pelancungan atau lebih tepatnya industri hospitaliti yang menjadikan servis sebagai sebuah tawaran yang penting di dalam perniagaan.

Industri hospitaliti ini bukan hanya tertumpu kepada promosi untuk memanggil pencancung asing tetapi juga promosi untuk memanggil orang kita di Malaysia untuk turut sama di dalam sebarang acara. Malah acara-acara besar kini sudah menjadi suatu tarikan untuk pelancung dan peminat-peminatnya, bukan hanya di dalam kesenian, tetapi juga sukan dan rekreasi. Dan ada juga acara-acara yang menggunakan khidmat artis-artis tempatan. Antara yang sering terlibat di dalam industri ini adalah selebriti Camelia serta pereka-pereka fesyen.

Sesetengah Negara pula sudah menjadikan acara seni yang serious sebagai acara untuk menarik pelancung-pelancung asing dan domestik, dengan kata lain semuanya adalah khalayak yang penting tanpa mengira umur, bangsa dan Negara. Apa lagi apabila kaum di Malaysia sendiri sudah meningkat daya belinya dan selera penggunanya.

Pendekata, industri-industri ini kini sudah menjadi industri besar yang boleh sebut sebagai Industri Kreatif dan kita semua seharusnya bersedia dengan perubahan yang bakal melanda kita seterusnya, penghapusan sempadan produk di kalangan Negara ASEAN dan produk seni dan kreatif tidak terkecuali dari arus tersebut.

No comments: