Followers

Thursday, September 6, 2007

Mak Yong Di Magdalena Singapura

Mak Yong at Magdalena Fest Singapore

Mak Yong Di MagdalenaAntara Teater Wanita Antarabangsa di SingapuraSeperti “Nasib Si Burung Pungguk’, mendayu-dayu di dahan kayu, memanggil purnama di malam kelam, tiada siapa yang ingin tahu, rupa yang buruk semakin suram. Begitulah juga Mak Yong di Kelantan, terus dipinggirkan apabila diharamkan pada tahun 1991, setelah Parti Islam SeMalaysia(PAS) memenangi pilihanraya dan memerintah negeri itu. Selain tidak membenarkan wanita membuat persembahan di khalayak ramai, Mak Yong juga dikatakan mempunyai unsur-unsur tidak Islamik dalam pembuka cerita, Mengadap Rebab. Mak Yong kini hanya dimainkan dalam cerita Dewa Muda untuk tradisi pengubatan Main Peteri di kampung-kampung terpencil.

Abdullah Nakula, historis Kelantan, pernah mengisahkan kegemilangan Mak Yong, sebagai persembahan DiRaja di bawah penjagaan Tengku Long Ghaffar, Tengku Temenggung sekitar tahun 1910 ke 1930. Tengku Long Ghaffar, mendirikan kampung seni berpagar bergelar ‘Kampung Temenggung’ di sebelah ulu Istana Balai Besar Kota Bharu, di Kubang Pasu. Kampung Temenggung dirobohkan setelah ada perpecahan di Istana Kelantan dan Tengku Long Ghaffar membawa diri ke sebuah pulau di Pattani.Mak Yong yang dikatakan mula bertapak di Kerajaan Besar Pattani (dahulunya Kerajaan Langkasuka), merangkum Kelantan dan Terengganu dalam jajahannya. Raja-rajanya bergilir-gilir bertahta dari keturunan Pattani ke kerabat Kelantan. Tapi kegemilangan Pattani adalah semasa Raja Permaisuri Hijau(1584-1616), Biru(1616-1624), Unggu(1624-1635) dan Kuning(1635-86). Sekitar tahun 1688-1690, pemerintahan Pattani berpindah ke Kelantan dan berbalik semula sampailah kerabat Pattani memerintah Kelantan sekitar 1730.

Sewaktu Peter Flores melawat Pattani pada tahun 1612 dia telah dipersembahkan dengan tarian Mak Yong dan Asyik yang dimainkan oleh wanita-wanita muda. Mak Yong menjadi seni persembahan dijajahannya di Kelantan, Besut dan Terengganu. Apabila Raja Permaisuri Biru menikah dengan Sultan Johor Riau, persembahan itu dibawa bersama ke Johor Riau. Kini orang-orang Riau masih ada serpihan seni persembahan tersebut yang masih dipanggil Mak Yong, walaupun ianya sudah dihiasi dengan tarian Ronggeng. Mak Yong Pattani juga dipengaruhi tarian Ronggeng dalam persembahannya.Khadijah Awang, Seniman Negara, yang menonton persembahan teater tari klasik Asia Tenggara pada tahun 1968, dikatakan amat malu dengan kedaifan persembahan dari Malaysia kerana pakaian dan pemain-pemainnya yang sudah tua. Sepulangnya ke Kota Bharu, beliau mengambil keputusan untuk menubuhkan Kumpulan Seri Temenggung. Sebelumnya dia Khadijah adalah seorang penari Asyik yang hanya tertarik dengan seni setelah perkahwinannya pada umur 14 tahun. Ibu mertuanya, Primadona Lagenda Mak Yong, Che Gemala menjadi gurunya. Khadijah kemudiannya memodenkan persembahan Mak Yong, dengan memendekkan waktu persembahan serta menambahkan kilauan ke dalam busana. Mak Yong dibawa menjelajah hingga ke Eropah.

Khadijah Awang dianugerahkan Seniman Negara pada tahun 1999 dan meninggal dunia pada tahun 2000 dalam usia 59 tahun. Selama hayatnya beliau berusaha mengajar Mak Yong kepada generasi muda di Akademi Seni Kebangsaan, USM dan UITM serta mementaskan kreasi baru bersama Panggung Negara dan PETRONAS. Sepeninggalannya, Mak Yong terus diajar di ASK, UITM dan USM oleh pembawa-pembawa obor pelapis.Kini Mak Yong sudah menjadi sebahagian daripada khazanah dunia apabila UNESCO mengistiharkan Mak Yong sebagai World Heritage pada tahun 2005. Mungkin khazanah ini terus dipulihara, dikembangkan dan diuruskan dengan lebih baik.

Zainab Awang, dikenali dengan nama mesranya Kak Nab atau Mek Nab, adalah seorang primadona Mak Yong yang tidak kurang hebatnya kerana kelantangan suara serta lakonannya. Mek Nab lebih dikenali di daerah permainannya di Bachok, dan bermain Mak Yong sejak berumur 13 tahun. Dia diundang untuk mengajar penari-penari Suasana Dance Company oleh Ismail Kaya Bakti untuk teater tari “Cempaka Emas”(cerita Mak Yong asalnya Raja Tangkai Hati) pada 1982. Bersama “Cempaka Mas”, Mek Nab mempersembahkan tari ‘Mengadap Rebab’ dan ‘Tari Ragam’ hingga ke Hong Kong International Arts Festival dan Asia Pacific Theater Festival di Perth, Australia. Beliau mengambl keputusan untuk berhijrah ke Kuala Lumpur untuk meneruskan usahanya sebagai pemain Mak Yong.Keterbukaan Mek Nab di dalam prinsipnya mempersembahkan Mak Yong bersama teater kontemporari telah mengundangnya bekerjasama dengan Ramli Ibrahim dalam “Siddharta”(2003), Fauziah Nawi dalam “Orang Kota Bharu”(2002), Zulkifli Mohamad dalam “Tanah Serendah Sekebun Bunga”(2004). Sebelumnya, Mek Nab banyak berkerjasama dengan Taruwat Ismail Bakti dalam persembahan bersama Yayasan Seni di tahun 1990an.

Sekarang, Mek Nab menumpukan perhatiannya kepada pengajaran Mak Yong di Fakulti Teknologi Kreatif dan Artistik, UITM Shah Alam.Tahun ini Mek Nab diundang untuk mempersembahkan Mak Yong di Magdalena Festival di Singapura pada 10-15 Julai, 2006, julung kalinya diadakan di Asia. Magdalena adalah sebuah pertubuhan penulis dan penggiat teater wanita dunia. Bermula dengan Magdalena Projek di Australia, sekumpulan anak muda dari Singapura mengambil keputusan untuk mendaftarkan Magdalena Singapura di bawah pendaftar persatuan dan mengadakan Magdalena Festival Teater Antarabangsa di Singapura. Magdalena dibantu oleh sekumpulan organisasi kerajaan, swasta dan individu di Singapura untuk menyemarakkan usaha mengenengahkan karya-karya wanita dari seluruh dunia, sekali gus bertukar ilmu serta saling berhubungan antara satu sama lain. Ini menghasilkan peluang untuk pengkarya wanita terus berkarya serta menjalinkan networking antara Asia Tenggara serta seluruh dunia.

Presiden Magdalena Singapura, Verena Tay mengungkapkan “kita harus bersatu serta berkongsi pengalaman dan belajar dari satu sama lain”. Antara nama-nama besar yang hadir di Magdalena Singapura termasuklah Jadranka Andjelic (Serbia), Ang Gey Pin (Singapore), Geddy Aniksdal (Norway), Rob Baum (US/Australia), Rosa Casado (Spain), Cristina Castrillo (Switzerland), Ananya Chatterjee (India/USA), Elizabeth de Roza (Singapore), Kerensa Dewantoro (Australia/Indonesia), Antonella Diana (Italy), Jill Greenhalgh (Wales), Bruna Gusberti (Switzerland), Deborah Hunt (Puerto Rico), In Source Theatre (Singapore), Low Yuen Wei (Singapore), Luh Luwih (Bali), Yani Mae & Women Community Bandung (Indonesia), Indija Mahjoeddin (Australia/Indonesia), Raka Maitra (India), Rita Matu Mona (Indonesia), Mime Unlimited (Singapore), Noorlinah Mohamed (Singapore), Philippine Educational Theater Association (PETA), Anita Ratnam (India), Anette Röde (Norway), Sally Rodwell (New Zealand), sacredCOW (Australia), Svarnabhumi Studio (Malaysia), Claire Wong (Singapore/Malaysia), Joanna Wong (Singapore), Wu Wen Cui (Taiwan), Anna Yen (Australia). Ang Gey Pin misalnya, pernah bekerja di Workcenter Jerzy Grotowski dan Thomas Richards, Italy, sejak 1998. Geddy Aniksdal (lahir tahun 1955) adalah seorang actor, director dan pedagogis di Grenland Friteater of Porsgrunn, Norway.

Rob Baum pula mempunyai lebih dari 15 tahun pengalaman dalam pergerakan ekspresif seorang actor, kombat pentas serta psikologi tubuh. Beliau mengajar drama dan teater di Monash University, Australia. Rosa Casado adalah seorang aktivis, kreator dan pemain, hasil kerjanya menggali kemungkinan menulis semula realiti yang mencungkil cara baru dalam berfikir serta mengembangkan ruang kepelbagaian. Deborah Hunt, sejak 30 tahun yang lalu memproduksikan karya asal teater yang menggunakan topeng, patung dan bayang, dia banyak berkerja di New Zealand dan New York. Indija Moehiddin, campuran Australia-Sumatera telah menumpukan karyanya dalam mengembangkan teater tradisi Randai ke masyarakat Australia. Dia telah menulis dan mengarah “The Horned Matriarch: Story of Reno Nilam” (1998) serta karya untuk remaja Mr Stupid (Pak Pandir and his Waterbuffalo). Projek randainya yang terbaru termasuklah “Arthurian Randai Project” (2003) dan “The Ballad of Boldenblee” (2004). PETA, sebuah pertubuhan terkenal dari Filipina sejak tahun 1967 mendedikasikan kerja teaternya untuk masyarakatnya. Anita Ratnam pula adalah nama besar dan pemenang anugerah televisyen di Kota Raya New York di tahun 1980an, kembali ke Chennai (Madras), India dan mempelopori ARANGHAM (1992), menghubungkan tari dengan seni lainnya, mendirikan Arangham Dance Theatre (1993), portal dunia tari www.narthaki.com (2000) dan acara tari kontemporari tahunan The Other Festival (1998). Tidak ketinggalan adalah Joanna Wong, seorang pemain dan pengarah Cantonese Opera dari Singapura yang menjadi terkenal di China.Festival yang berjalan mulai 10-15 Julai ini akan menampilkan pelbagai aktiviti termasuk demonstrasi persembahan teater, bengkel teater, forum dan dialog teater serta persembahan-persembahan terpilih yang akan bermain di beberapa venue di Kota Singa itu. Mek Nab dan Svarnabhumi Studio akan mengadakan demonstrasi persembahan Mak Yong serta bengkel Mak Yong di Muzium Negara Singapura. Demonstrasi Mak Yong akan mempersembahkan cerita Fakir Abdullah Raja Adil, sebuah cerita yang jarang dibawa oleh kumpulan-kumpulan Mak Yong di Malaysia, walaupun kita dikatakan ada 12 batang cerita Mak Yong yang terkenal. Kita sering disogokkan dengan cerita-cerita Anak Raja Gondang, Raja Laklin, Raja Tangkai Hati dan Dewa Muda.

Tan Sri Mubin Sheppard pernah menerbitkan cerita-cerita Mak Yong dalam penerbitannya di tahun 1960 dan 1970. Tapi Prof.Ghulam Sarwar Yusuf banyak mengkaji dan menulis tentang teater tradisional Mak Yong.“Fakir Abdullah dan Raja Adil” mengisahkan Fakir Abdullah yang hodoh dan miskin tetapi mengimpikan untuk menemui Raja Adil dan meminta untuk menjadi raja di negeri itu selama sehari setelah bertukar wajah yang sempurna. Walaupun dihalang oleh puteranya, Raja Adil membenarkan Fakir Abdullah menjadi raja untuk tempoh sehari, malangnya selepas sehari semalam Fakir Abdullah enggan melepaskan tahta. Beliau menghalau Raja Adil dan beliau terus memerintah. Fakir Abdullah akhirnya diserang oleh putera Raja Adil dan bertukar kembali menjadi buruk. Mek Nab dan kumpulannya akan mengadakan demonstrasi “Buka Panggung”, “Mengadap Rebab”, “Pecah Cerita”, “Peran” serta “Tari Ragam”.

Demonstrasi akan mempersembahkan sebahagian dari persembahan sebenar dengan memendekkan waktu persembahan. Apa yang menarik dalam persembahan Mak Yong juga adalah lakaran pentasnya yang bersifat ‘invisible’ dan ‘imaginary’. Walupun dulunya Mak Yong dipersembahkan dalam Istana mengadap raja dan orang kebesaran, ruangnya bertukar ke bangsal yang didirikan di kampung. Tapi ruang yang yang sesuai adalah berbentuk arena seperti juga panggung eksperimen. Itulah kelebihan dan keunikan Mak Yong, dan ini menyenangkannya untuk dibawa berjalan, dengan hanya tujuh pemain musik serta lapan pemain termasuk Raja, Permaisuri, Putra Putri, Peran, dan Dayang-dayangnya. Walaupun bahasa perantaraan Mak Yong adalah bahasa Kelantan-Pattani dialek, bengkel akan diadakan dalam Bahasa Inggeris untuk memudahkan peserta dari seluruh dunia memahami cerita dan struktur-struktur permainan dan latihan. Mak Yong di Magdalena Singapura sekaligus mengimbau ke zaman Raja Permaisuri Biru di Abad Ketujuh Belas Johor Riau sekaligus menyaksikan dunia menatapnya dalam ruang realiti kosmopolitan. ________________________________________________________________________
Dr.Zulkifli Mohamad adalah pengasas pertubuhan seni dan budaya, Svarnabhumi Studio, yang mengkaji teater tradisional Mak Yong, Wayang Kulit, Manora, Asyik, Silat, Randai, Terinai dan mengembangkan teater tradisi baru Malaysia. AxiA (Arts Xchange in Asia) pula adalah organisasi tanpa-untung yang dipelopori untuk mempromosikan pertukaran seni dan budaya di kalangan seniman, penulis dan pengkaji di Asia. Beliau adalah alumni Asia Fellow, Islamic Scholars of Southeast Asia, SEASREP Foundation, Southeast Asian Artisan (Toyota Foundation/ UNESCO) serta volunteer UNESCO World Heritage Education. Email: Zubin_Mohamad@yahoo.com. Blog: http://Svarnabhumi.blogspot.com.

Monday, September 3, 2007

Industri Kreatif Negara



Industri Kreatif Negara

Ramai di antara kita yang masih belum membuka mata untuk melihat pertalian dan hubungkait antara apa yang dipanggil sebagai dunia hiburan dengan dunia budaya dan pelancungan. Dunia hiburan yang penuh glamour atau sering digelar sinis oleh para seniman Indonesia sebagai “Dugem” atau Dunia Gemerlapan, dilihat sebagai memiliki industrinya yang tersendiri.

Di Malaysia, dunia hiburan ini merangkumi industri perfileman dan industri muzik, yang dulunya dipanggil industri piring hitam, manakala industri televisyen pula seperti terpisah, padahal orang-orang yang terlibat di dalam ketiga-tiga industri ini boleh dikatakan orang-orang yang sama.

Selain industri hiburan yang penuh dengan dunia glamour dan selebriti, kita juga sudah ada industri pengiklanan yang begitu besar sumbangannya kepada perkembangan ekonomi and kreativiti Negara, malah banyak juga syarikat-syarikat pengiklanan antarabangsa seperti Lintas Lowe, McCann Erickson, Leo Burnet, J.W.Thompson, Dentsu dan banyak lagi yang menjalankan perniagaan di Malaysia. Di dalam industri ini juga, mereka banyak menggunakan bakat-bakat untuk memenuhi iklan mereka termasuk selebriti-selebriti televisyen, filem and muzik.

Sejak kebelakangan ini pula sudah lahir bakat-bakat pengarahan seperti Yasmin Ahmad yang terjun ke dunia perfileman. Ini menjadikan beliau sebagai seorang yang menggabungkan dua dunia industrinya dengan daya kreatifnya sebagai seorang pengarah filem dan pengarah filem iklan, begitu juga dengan Saw Tiong Hin. Mungkin ramai lagi nama-nama penting di dalam industri pengiklanan, dari penulis skrip, jurukamera, editor filem, juru grafik dan sebagainya yang bergiat di dalam lebih dari satu industri. Shuhaimi Baba dan Adman Salleh juga adalah dua orang pengarah yang berpindah-pindah dari dunia perfileman ke televisyen dan sebaliknya.

Pendekata, industri-industri kreatif ini sudah tidak ada halangan-halangan, perantara atau sempadan yang menyempitkan daya kreativiti seseorang artis, seniman atau artisan. Mungkin sudah tiba masanya kita mengiakan keujudan suatu industri yang agak baru diperkatakan di Asia, Industri Kreatif, kerana ini akan membuka lebih banyak peluang kepada artis, seniman, artisan serta pengurus seni dan budaya.

Industri pelancongan yang mula menjadi suatu fenomina besar dalam kehidupan orang Malaysia sejak persidangan CHOGM dan Visit Malaysia Year 1990, bukan saja membuka peluang kepada rakyat Malaysia untuk mengenali dunia luar, tetapi lebih mengenali dunia sendiri, sekali gus menjadi sebahagian daripada industri yang kian pesat membangun ini.

Kini kita semua sudah menyedari yang budi bahasa dan budaya kita bukanlah setakat slogan tetapi merupakan aset penting di dalam industri pelancungan atau lebih tepatnya industri hospitaliti yang menjadikan servis sebagai sebuah tawaran yang penting di dalam perniagaan.

Industri hospitaliti ini bukan hanya tertumpu kepada promosi untuk memanggil pencancung asing tetapi juga promosi untuk memanggil orang kita di Malaysia untuk turut sama di dalam sebarang acara. Malah acara-acara besar kini sudah menjadi suatu tarikan untuk pelancung dan peminat-peminatnya, bukan hanya di dalam kesenian, tetapi juga sukan dan rekreasi. Dan ada juga acara-acara yang menggunakan khidmat artis-artis tempatan. Antara yang sering terlibat di dalam industri ini adalah selebriti Camelia serta pereka-pereka fesyen.

Sesetengah Negara pula sudah menjadikan acara seni yang serious sebagai acara untuk menarik pelancung-pelancung asing dan domestik, dengan kata lain semuanya adalah khalayak yang penting tanpa mengira umur, bangsa dan Negara. Apa lagi apabila kaum di Malaysia sendiri sudah meningkat daya belinya dan selera penggunanya.

Pendekata, industri-industri ini kini sudah menjadi industri besar yang boleh sebut sebagai Industri Kreatif dan kita semua seharusnya bersedia dengan perubahan yang bakal melanda kita seterusnya, penghapusan sempadan produk di kalangan Negara ASEAN dan produk seni dan kreatif tidak terkecuali dari arus tersebut.