Followers

Monday, June 18, 2007

Telepuk: Etno-Teknologi Kita





Kita kadang-kadang menjadi terlalu alpa dengan dunia hiburan, leka dengan keasyikan bermesej untuk menjadikan idola akademi fantasia atau “You Think You Can Dance” kita sebagai juara dalam pertandingan atau ter-riak dengan pencapaian seorang penjual goreng pisang di Taman Tun Dr.Ismail yang kini menjadi bintang filem dalam “I Dont Want To Sleep Alone” yang ditayangkan di Cannes Film Festival yang lalu.

Mungkin juga kita akan hanya menyanjung sesuatu itu apabila ianya sudah mendapat kejayaan di luar sana, apalagi kalau ianya sudah dicanangkan di Paris, London, New York atau Tokyo. Atau mungkin juga kita akan hanya memberi tumpuan kepada sesuatu yang diimpot dari luar seperti Akademi Fantasia atau You Think You Can Dance.

Kerana itu kita sering mengalah untuk tidak lagi memerah otak kita untuk melahirkan sesuatu idea yang bernas yang boleh membanggakan kita sendiri serta bangsa. Kerana itulah kita tidak bakal menjadi insan kelas pertama, kerana kita cukup berpuas hati dengan sesuatu yang dicipta oleh orang lain. Kita sering mengambil jalan mudah, asalkan mendatangkan keuntungan.

Pernahkah anda mendengar perkataan Telepuk? Mungkin tidak ramai yang mengetahuinya, tetapi hakikatnya, Telepuk adalah sebuah gubahan dan ciptaan bangsa Melayu sejak beratus-ratus tahun yang lalu. Telepuk adalah rekaan tekstil yang menggunakan warna-warna emas dengan desain-desain Melayu nusantara dahulu kala. Menjadi lebih terkenal pada zaman Sultan Hishamuddin, Sultan Selangor yang mula membuat sendiri kain telepuk dengan permaisuri baginda.

Ramai yang mungkin teruja dengan rekaan-rekaan pakaian dari pereka luar seperti Christian Dior, Christian Lacroix, Pucci, Lanvin, Georgio Armani atau Versace. Dan kalau anda di antara yang berminat dengan perkembangan rekaan fesyen tempatan dan juga terkiak dengan baju rok(skirt)-mini warna keemasan rekaan Farah Khan di ASEANA, anda harus datang ke pameran kegemilangan Telepuk di Muzium Alam Shah di Shah Alam Selangor, yang sedang berpameran sejak 10 Mei lalu, kerana anda akan terus teruja dengan kegemilangan kerja tangan kita sendiri, rakyat Malaysia.

Rekaan telepuk ini mungkin lebih dikenali teknik pembuatannya di Bali dan Thailand, tetapi hakikatnya, kita sendiri sudah lama mempunyai teknik pembuatan sedemikian rupa. Kini tibalah masanya untuk para pereka kita untuk menghasilkan rekaan pakaian dari pembuatan kain yang kita sendiri menciptanya. Sama seperti apa yang sudah berlaku dengan martabat batik yang diangkat kembali oleh Allahyarhamah Datin Seri Endon Mahmud, bekas pengerusi Yayasan Budi Penyayang. Kini batik bukan lagi sekadar kraftangan yang dijual dipasar-pasar di Kota Bharu dan Kuala Terengganu, tetapi menjadi rekaan dalam pakaian Dato’ Tom Abang Saufi yang sudah bertapak di kota London.

Pendekata, orang kita pun boleh membuktikan kemampuan kalau diberikan perhatian dan kesungguhan. Tom sendiri mengikut jejak kawan perekanya Dato’ Bernard Chandran di London dan Zang Toi di New York. Ramai juga yang tidak mengetahui yang kita juga mempunyai seorang lagi pereka terkenal di New York, iaitu Yeoh Lee yang berasal dari Ipoh Perak. Pendekata kalau para pereka kita terdedah kepada rekaan kain telepuk ini tentu mereka akan melompat kegembiraan kerana bukan hanya membawa nama Malaysia ke peringat antarabangsa kerana rekaan pakaian tetapi juga membawa nama pembuat kain tempatan, yang mungkin suatu hari nanti akan juga tersenarai di dalam UNESCO World Heritage dan akan lebih dikenali dunia.


Artikel ini telah disiarkan di Kosmo Sabtu 2 Jun 2007.

1 comment:

rai said...

Salam.

Just leaving my aksara print here.Hehehe...saya orang shah alam pun tak pi tengok pameran telepuk tu. Tak ada kesedaran barangkali.How pathetic I am!

Cerita tentang kain dan warisan ni-Saya dapat banyak hadiah kain batik, baik yang mentah mahupun yang sudah dijahit, siap berzip. I choose to wear the latter of course.Psst...saya tak reti pakai kain batik. Kena kursus kot dulu!

Good day!