Kita sering melihat negara kita Malaysia sebagai sebuah negara yang baru bertamaddun, iaitu hanya bermula dari Kesultanan Melayu Melaka pada abad kelima belas. Ramai ahli sejarahwan kita, yang ratanya mengkaji sejarah dari perspektif kolonial, hanya melihat kepada tulisan serta naskah pensejarahan seperti Kanun Laut Melaka yang diterjemahkan oleh pihak penjajah sebagai bukti.
Kalaulah Tanah Semenanjung, Tanah Melayu yang dikenal sebagai Semenanjung Emas ini sudah didiami masyarakat awal di Perak dan Kelantan lebih dari 34,000 tahun yang lalu serta Gua Niah di Sarawak yang sudah diduduki sejak 40,000 yang lalu, tidak mustahillah kalau kita katakan yang kita sudah lama mempunyai sejarah.
Sri Gangga Nagara yang meliputi kawasan Beruas, Dinding dan Manjung di negeri Perak, dikenali sebagai sebuah kerajaan Melayu pertama yang ada di Tanah Semenanjung ini sejak sebelum abad kedua lagi. Pun begitu kegemilangannya runtuh sekitar tahun 1026 oleh serangan musuh dari barat. Kerajaan Langkasuka yang berubah pusatnya dari Kedah ke Pattani juga terkenal sebagai kerajaan Melayu awal di Semenanjung Emas ini. Tidak hairanlah kalau kerajaan-kerajaan ini menjadi rebutan, kerana sumber emas, kayu gaharu dan rempah ratus sudah menjadi terkenal di kalangan pedagang dan pelayar-pelayar dari Parsi hingga ke China. Apa yang lebih berharga adalah sebuah tanah besar yang memisahkan tiupan angin dari barat dan timur, sekali gus menjadi tempat berlindung untuk kapal-kapal yang berlayar dari timur jauh dan utara kita.
Menjelang abad ketiga, Kepulauan Melayu Nusantara sudah tergabung dalam sebuah kesatuan kerajaan yang dipanggil Sri Wijaya, yang terkenal pusatnya di Palembang, Sumatera. Pengaruh Sri Wijaya tersebar luas hinggalah menjadikan Chaiya di Thailand sebagai pusat regional paling utara serta persisiran laut Sumatera, Jawa, Bali, Borneo, Sulawesi, Sunda dan Semenanjung Tanah Melayu sebagai kawasannya. Sri Wijaya terkenal kerana hubungan lautnya, perundangan maritimnya serta negara-negara di bawahnya. Majapahit yang berpusat di Jawa Timur pula mengambilalih kuasa pada abad ke tigabelas hingga ke empat belas, menguasai kawasan-kawasan di bawah jajahan Sri Wijaya, memindahkan pusat pemerintahannya dari kawasan pelabuhan ke kawasan tanah tinggi di Trowulan. Tetapi, laut adalah segalanya dalam perdagangan dunia. Pelabuhan Melaka menjadi termashur pada abad ke lima belas kerana persimpangan jalan laut timur dan baratnya, menjadikan Melaka sebuah kesultanan gemilang.
Pengaruh serta penguasaan wilayah dan perdagangan sering berubah-ubah mengikut kuasa politik dan perdagangan dunia, termasuk kuasa India dan China, sebelum pengaruh Islam dan Eropah menyelinap masuk ke Asia Tenggara pada abad kelima belas. Kemasukan Islam ke kepulauan Melayu pula meraih kuasa baru dan memberi kegemilangan pada kesultanannya, terutamanya apabila Parameswara memeluk Islam menjadi Sultan Iskandar Shah pada 1414. Dunia Islam di Timur Tengah dan China menjadi semakin beriya-iya dan meluaskan tebaran berita. Walaupun Kesultanan Melayu Melaka jatuh ke tangan Portugis pada tahun 1511, pengaruh Islam tetap utuh dan membumi, melahirkan kegemilangan pada Kesultanan Melayu Riau, Brunei dan Pattani.
Negara-negara moden Asia Tenggara yang melalui zaman pemerintahan kolonial Eropah berkumpul setelah kemerdekaan, mencari suara baru dan bersetuju untuk menumpukan pakatan dalam ekonomi, politik, sosial dan budaya serta perdamaian. Maka, lahirlah ASEAN (Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara) pada tahun 1967. ASEAN yang kini sudah menjangkau empat puluh tahun, sudah mempunyai sepuluh buah negara anggota, yang giat berusaha untuk mengadakan zon perdagangan bebas, AFTA (ASEAN Free Trade Zone).
Islam yang menjadi titik tolak kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka, kini menjadi agama rasmi rakyat Malaysia, di mana 61% penduduknya menganut ajaran Islam. Manakala rakyat Malaysia yang terdiri dari pelbagai kaum, agama dan budaya ini membentuk suatu bangsa yang majmuk yang merdeka, Bangsa Malaysia!.
Islam Hadari yang mengambil nilai kemodenan dalam kehidupan pula telah membawa Malaysia ke satu tahap baru dalam dunia Islam antarabangsa, terutamanya di kalangan negara-negara OIC (Organisation of Islamic Conference). Malaysia bukan hanya menjadi pusat perbankan Islam serta pendidikan moden, tetapi mencetuskan peluang baru sebagai Pusat Halal Sedunia (Halal Hub).
Pendekata, sekali lagi bumi bertuah ini mengorak langkah ke arah suatu perjalanan mencari paksi untuk titik pertemuan timur dan barat. Kini kita bukan hanya menjadi pusat pertemuan pengangkutan laut dunia di North Port, West Port dan Tanjung Pelepas Port, kita sudah mengorak langkah jauh dengan kehadiran Kuala Lumpur International Airport di Sepang, setanding dengan lapangan terbang antarabangsa terkemuka di dunia.
Dengan kemudahan dan pembangunan prasarana yang ada di sekitar pembinaan perkotaan baru Putrajaya di antara rangkaian lebuhraya, sudah tentunya kota pemerintahan yang begitu gah dengan bangunan mahkamah Palace of Justice, bangunan Jabatan Perdana Menteri, Perbadanan Putrajaya, Masjid, Istana Melawati dan jambatan-jambatan ini bakal menempa nama sebagai di antara kota terindah dunia. Dan kita tidak lagi merasa malu untuk meletakkan kota kita seperti kota-kota indah lain di dunia. Sekali gus Putrajaya juga terhubung rapat dengan Malaysia Multimedia Supercorridor yang berpengkalan di Cyberjaya, serta bandaraya perdagangan, Kuala Lumpur.
Kini, setelah dua puluh abad kita bertolak dari Sri Gangga Nagara, kita bukan hanya mempunyai 13 buah negeri, serta tiga buah wilayah terkenal, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, tetapi juga mempunyai sebuah mercu tanda yang dikenali dunia, PETRONAS Twin Towers, yang masih bergelar di antara bangunan tertinggi dunia. Kita bukan hanya sudah termaktub di dalam sejarah, tetapi sudah berani membina sejarah dan terus mara membawa warga negara untuk menjadi bangsa mulia.
Artikel ini adalah salah sebuah artikel untuk Ulangtahun 50 Tahun Malaysia Merdeka dan telah disiarkan di Berita Harian 4 Jun 2007.
No comments:
Post a Comment