Sewaktu memasuki halaman Sekolah Francis Light di George Town, Pulau Pinang petang itu, terdengar keriuhan suara kanak-kanak bernyanyi-nyanyi dan berdialog lantang serta diselangi dengan muzik paluan dan gamelan. Janet Pillai, penerima anugerah BOH Cameronian Arts Awards untuk ‘Cross Cultural Champion of the Arts 2004’ dan ‘DiGi Amazing Malaysian Award 2006’, selaku pengarah artistik, sibuk menyiapkan pakaian untuk raptai berpakaian untuk 30 pelakon, penari dan pemuzik muda (berusia antara 9 hingga 19 tahun dari pelbagai kaum). Walaupaun Kebaya, Cheongsam, Sari, Kurta dan Baju Melayu yang dibentangkan kelihatan kaku dilantai bangunan sekolah zaman kolonial itu, ia punyai banyak sejarah dan cerita. Dan itulah terciptanya sebuah rekonstruksi peristiwa sebelum merdeka.
Ho Sheau Fung sebagai pengarah, Aida Redza sebagai koreografer, Profesor Etnomuzikologi Tan Sooi Beng selaku komposer serta Janet Pillai, aktivis teater pendidikan dari Universiti Sains Malaysia ini, sudah lama bergiat di dalam teater kanak-kanak di Pulau Pinang dan Malaysia. Mereka mengambil keputusan untuk berkolaborasi bersama untuk menghasilkan buah tangan istimewa untuk ulangtahun ke 50 Malaysia Merdeka dalam persembahan yang digelar Ronggeng Merdeka. Drama muzikal 40 minit adalah usaha yang digembelingkan oleh dua organisasi seni Ombak Ombak ARTStudio dan Anak Anak Kota.
Drama muzikal ini mengisahkan pengembaraan negeri Pulau Pinang ke arah kemerdekaan yang mengambil kisah-kisah dari penduduk-penduduk Pulau Pinang sendiri mengenai kehidupan sekitar tahun 1930, penjajahan Jepun dan zaman menuju kemerdekaan. Persembahan ini juga merupakan sambungan bagi persembahan pada tahun lalu Kisah Pulau Pinang yang dipersembahkan dalam Heritage Heboh Street Festival.
Ronggeng Merdeka yang membawa semula tradisi persembahan Pulau Pinang seperti Dondang Sayang, Boria dan Ronggeng akan dipertontonkan kepada penduduk umum di beberapa daerah seperti Teluk Bahang pada 4 Jun, Balik Pulau pada 9 Jun, Air Itam pada 10 Jun dan kota dalaman George Town pada 16 Jun akan datang.
Muzikal yang diasaskan dari perbualan dengan penduduk Pulau Pinang dan pemerhatian terhadap pergerakan dan bunyi-bunyian dari penjaja dan peniaga ini akan disertakan dengan lagu boria dan joget serta teks yang dicipta oleh anak-anak muda sendiri. Inspirasi juga datang dari persembahan extra turn Bangsawan yang menarik kebanyakan golongan muda-mudi dan dewasa pada tahun 1930 dan 1940 dengan tarian cha-cha-cha, rumba, inang, zapin dan lain-lain jenis tarian. Extra Turn adalah dipersembahkan sebagai selingan apabila set perlu ditukar di dalam persembahan teater bangsawan. Lagu-lagu terkenal di Penang’s Wembley dan Great World Park akan turut dipersembahkan.
Pelbagai bahasa dan dialek yang diketengahkan dalam lirik lagu melalui Melayu, Hokkien dan Inggeris adalah perbualan lazim yang digunakan di pasar, kedai kopi, rumah dan sekolah di Pulau Pinang sekali gus ia menceritakan pelbagai resepi makanan enak yang ada di Pulau Pinang.
Mungkin dengan interaktif baru yang ditampilkan melalui lagu, muzik, tarian dan drama, sejarah kemerdekaan Malaysia bakal menjadi pedoman kepada generasi baru. Ronggeng Merdeka juga membawa satu mesej penting yang Penduduk Pulau Pinang yang jelas terdiri daripada masyarakat pelbagai kaum dengan penuh semangat muhibbah boleh membangkitkan bangsa Malaysia untuk menjadi Bangsa Majmuk. Untuk lebih mengenali Ronggeng Merdeka, sila lawati http://www.arts-ed-penang.org/.
Sambil meninggalkan bangunan sekolah yang penuh sejarah dan dipenuhi pohon kemboja (frangipani) yang wangi bunganya, saya terfikir yang sudah tiba masanya untuk kita memberi interpretasi baru kepada bangunan kolonial, bangunan yang banyak menyimpan sejarah perjalanan tamaddun kita, Bangsa Malaysia.
The edited version Ronggeng Bangsa Merdeka appered onMay 26, 2007
No comments:
Post a Comment