1 FEB — www.themalaysianinsider.com
Selesai menonton filem Black Swan (lakonan Natalie Portman dan Winona Ryder) di University Village, Riverside, California, aku terus terpanggil untuk menulis sesuatu tentang filem itu dan tari ballet.
Memanglah ballet bukan budaya tarian kita di Malaysia, apalagi di kalangan orang Melayu, India dan lainnya. Tetapi ada banyak sekolah ballet di Kuala Lumpur dan bandar-bandar lain termasuk di Kuching, Sarawak dan Ipoh, Perak.
Aku tak pernah belajar di kelas ballet di Malaysia; yang ada cuma menonton video-video VHS ballet dari tahun 1960an hingga 1980an, termasuk persembahan tarian oleh penari Margot Fonteyn dan Rudolf Nureyev, dual agenda ballet abad ke 20.
Dari situlah aku mula belajar judul-judul ballet klasik barat seperti Nutcracker, Romeo & Juliet, Cinderella, Giselle, Copellia serta Swan Lake. Apabila sampai ke Glasgow pada tahun 1991 untuk progam master dalam international marketing and business, aku mendaftarkan diri untuk masuk ke kelas ballet di Scottish Ballet.
Aku tak tahan lama di kelas ballet, cuma sebulan saja, tapi aku mulai masuk ke kelas kontemporari yang lebih serasi dengan aku, apalagi kerana sudah ada tarian-tarian lain yang sudah dipelajari seperti tari klasik Melayu.
Selalunya selesai kelas di University of Strathclyde, aku mengambil keretapi bawahtanah ke untuk kelas selama dua jam. Akhirnya aku menjadikan Scottish Ballet sebagai case study disertasi program sarjana pemasaran antarabangsa, Sponsorship Strategy of Ballet Companies in United Kingdom.
Berkerja di Bahagian Pembangunan, Scottish Ballet, banyak membuka mataku, bukan hanya tentang penajaan seni tetapi juga tentang sesebuah karya artistic itu sendiri dan apa yang diminati oleh publik dan sponsor korporat.
Penyelidikan ballet di United Kingdom yang ditaja oleh British Rail, memberi peluang untuk aku melawat kota London untuk menonton dan menemubual artistic director, chief executive dan pengarah pembangunan beberapa buah ballet seperti English City Ballet, Royal Ballet, Ballet Rambert, London Contemporary Dance Company serta Birmingham City Ballet.
Aku juga berpeluang menonton beberapa ballet luar United Kingdom seperti Kirov Ballet dan Bolshoi Ballet dari Rusia serta Australian Ballet. Ternyata setiap kumpulan menampilkan gaya yang berbeza walaupun mereka membawa cerita ballet klasik yang sama. Selalunya cerita-cerita ballet ini dipersembahkan mengikut empat musim.
Antara tontonan ballet yang paling tidak dapat dilupakan adalah Romeo & Juliet, koreografi Rudolf Nureyev di Paris Opera, pada tahun 1991, beberapa bulan sebelum Rudulf Nureyev meninggal dunia, dan dari jauh, aku sempat melihat Rudulf Nureyev naik ke pentas. Rudolf, walaupun lambat belajar menari ballet di umur 21, beliau bukan saja menjadi di antara penari ballet terunggul di abad 20, tetapi juga koreografer ballet yang disegani.
Setelah banyak menonton ballet klasik, dan mulai jemu, aku beralih ke arah tarian kontemporari serta pasca-moden. Sebelum pulang ke Malaysia, aku menonton tari contemporary Wild Life yang dipersembahkan oleh London Contemporary Dance Company di London, dan itulah yang terus memberikan inspirasi untuk aku terus pulang berkerja di Sarawak, Borneo. Pertama kali membuat koreografi tari, aku berkolaborasi dengan Chan Layna, seorang penari ballet bertauliah, beliau juga mempunyai sekolah ballet sendiri di Kuching.
Ballet selalunya dimulakan sejak kecil, mungkin sejak dari umur lima tahun, di Malaysia sekolah ballet sering dikunjungi oleh masyarakat Cina. Sekolah-sekolah ini harus mempunyai tauliah dan juga diajar oleh guru-guru bertauliah dan susah untuk ditemui. Kelas-kelas ballet atau tarian lain seringkali membentuk disiplin yang baik dikalangan anak-anak, tetapi sering juga anak-anak memberontak, kerana mereka dipaksa oleh ibu untuk mengambil kelas ballet.
Mungkin itulah juga yang ingin ditampilkan di dalam filem Black Swan, yang seterusnya membuatkan anak itu menghadapi tekanan jiwa. Ballet juga seringkali diasosiasikan dengan masalah bulimia, di mana mereka tidak mahu makan, supaya terus kurus, kerana setiap ballerina harus mempunyai imej yang sedemikian. Sewaktu di Scottish Ballet, aku pernah melihat sendiri gadis-gadis ballerina hanya memakan sebiji buah epal, cokelat Mars dan jus oren untuk makan tengahari mereka.
Sebagai seorang Asia yang mempunyai bentuk badan yang tidak kurus dan tinggi agak sulit untuk menjadi seorang penari ballet, apalagi kalau tidak dibimbing dari kecil, terutamanya untuk gadis-gadis. Apalagi untuk lelaki Asia Tenggara yang harus mengangkat dan menjunjung badan seorang gadis ballerina. Yang paling sulit adalah untuk menari ballet menggunakan point.
Sebenarnya sudah ada bebarapa buah filem yang mengisahkan kesulitan para penari ballet untuk terus bertahan sebagai penari ballet atau terus bertahan sebagai prima ballerina, apalagi setelah umur meningkat seperti di dalam filem Red Shoes (1948), White Nights (1985) lakonan Isabella Rosalini dan Mikail Barishnikov, Centre Stage (2000) tentang American Ballet, The Company 2003) arahan Robert Altman lakonan Neve Campbell, serta Billie Elliot (2000) yang menampilkan kesusahan seorang kanak-kanak Irish untuk mencapai impiannya kerana pendirian orang irish yang bersifat macho.
Mungkin filem ini juga ingin menarik minat para pelajar lelaki untuk menari ballet di United Kingdom dan seluruh dunia. Tarian ballet Swan Lake di dalam filem tersebut dikoreografikan oleh Matthew Bourne, kini terkenal dengan beberapa buah ballet lain termasuk Dorian Gray dan Edward Scissorhands yang menampilkan semua penari lelaki. Ballet Trocadero juga menjadi terkenal dengan balletnya yang menampilkan semua lelaki tetapi sebaliknya mengenakan pakaian wanita. Kumpulan Ballet Trocadero ini juga pernah datang membuat persembahan di Kuala Lumpur beberapa tahun lalu.
Menarik juga melihat seorang penari ballet terkenal Paris Opera, Sylvie Guillem yang menukar arah ke arah contemporary setelah meningkat usianya, bagaimanapun fizikalnya yang luarbiasa membuatkan dia sukar dilupakan walaupun usianya sudah lanjut, pernah menonton secara langsung di Esplanade Singapura dalam karya Sacred Monster koreografi Akram Khan bebarap tahun lalu, beliau seterusnya bekerjasama dengan Russel Malliphant dari United Kingdom dan Robert Lepage serta beberapa yang lain.
Begitu juga dengan Mikail Barrishnikov yang menubuhkan grup tarian kontemporarynya sendiri, White Oak Tree Project. Beliau juga banyak tampil di dalam filem dan rancangan televisyen seperti Sex and the City. Pendekata seseorang penari ballet harus pandai menyesuaikan diri dan mencari sesuatu yang lain untuk lebih bertahan lama, samada menjadi seorang guru ballet atau berubah menjadi koreografer atau juga mencari bidang baru seperti berlakon dan sebagainya.
Black Swan adalah sebuah filem ballet yang menarik, mengabungkan karier seorang penari ballet serta tekanan hidupnya, untuk senantiasa muda dan berada di atas sebagai prima ballerina dan untuk terus kurus dan langsing.
Apalagi jika penari ballet tersebut masih berada di dalam usia yang begitu muda dan masih mentah di dalam pengalaman hidup. Ibu selalunya juga menjadi pembimbing atau perosak utama, terutamanya ibu-ibu yang terlalu ambisius tentang kerjaya anaknya. Sebenarnya inilah yang ingin dipaparkan di dalam filem ini. Yang menariknya, filem ini dibikin seperti sebuah seram atau triller yang menyelitkan adegan-adegan pembunuhan serta peristiwa ngeri yang bermain di kepala sang prima ballerina.
* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.