Followers

Tuesday, September 16, 2008

Membaca Pemikiran Mamat Khalid

Pada hari Isnin 15 September lalu, FINAS dan INKEM(UITM) berkerjasama mengadakan forum filem yang lebih bersifat bicara seni di FINAS mulai jam 5 petang hingga 7 malam diikuti dengan majlis buka puasa. Panel-panelnya adalah A.Wahab Hamzah yang selalu menulis dalam Utusan Malaysia, Norman Yusof dari program Skrin UITM dan saya sendiri. Acara dimoderatorkan oleh Dr.Mahadi J.Murad yang pernah meraih anugerah Filem Asia Pasifik untuk filemnya Sayang Salmah (tapi lupa anugerah untuk kategori apa, mungkin pelakon utamanya). Aku sendiri bukanlah orang filem dan belum pernah buat apa-apa filem, cuma kenal dengan beberapa pengarah, pekerja dan pelakon filem. Walaupun dah kata begitu aku pernah lah menulis artikel-arikel yang menyentuh filem selama menulis di ruangan budaya popular di suratkhabar KOSMO (2006-2007). Sekarang aku dah tak menulis lagi. Lagipun suratkhabar tu dah laku, tak ada space untuk aku tulis.

Rasanya perjalanan forum malam tu berjalan lancar, cuma kalau kita masih ada banyak masa, kita bolehlah menyentuh hal-hal lain dalam produksi filem. Malam tu kita lebih menyentuk kepada perkara asasnya dahulu, hal-hal yang ada di dalam Film Studies. Kita bertuah kerana kita ada pengarahnya Saudara Mamat Khalid. Jadi program dah jadi bertambah baiklah. Selalunya sebenarnya tuan pengarah tak perlu ada pun kalau kita membuat forum membaca karya seseorang pengarah. Kalau kita nak bertanya direct dari dia itu bukan lagi membaca karya namanya, itu dah temuduga terus dengan beliau. Dan saya rasa program sebegini dah banyak ada. Ini adalah pertama kali program sebegini diadakan terutamanya di finas. Mungkin kalangan filem dan pelajar kita masih belum pernah menghadiri acara sebegini. Jadi memanglah agak sedikit intelektual sifat perbicaraannya. Namakan mau membentuk Budaya Filem, kan Mamat sendiri pernah mengatakan malam itu. Ini bukan sesi bertemu peminat, kalau itu yang dinamakan acara membentuk khalayak filem. Jadi budaya filem itu bukan hanya ada satu lapisan sahaja, ada di kalangan akademik dan intellektual, ada di kalangan pengajar, ada di kalangan wartawan, ada di kalangan peminat( yang hanya menonton tv dan tidak membayar tiket di pawagam), ada di kalangan penonton yang benar-benar. Rasanya kita di Malaysia masih belum membuat pecahan-pecahan pasaran filem Melayu dan filem melayu yang bagaimana. Mungkin ini harus di bicarakan selepas ini, tapi ini harus dibicarakan dengan statistik yang telah dijalankan, itu pun kalau penyelidikannya betul. Apapun ini satu jalan baru, marilah kita merayakannya!