OPERA JAWA: SEBUAH FILEM 'MANUSIA' YANG SEMPURNA
oleh: Syahrul Fithri Musa
(sekadar berkongsi)
Opera Jawa Garin Nugroho adalah sebuah filem epik muzikal (soal genrenya menjadi remeh untuk diperkatakan) oleh seorang manusia mengenai kehidupan manusia yang cukup sempurna. Ia satu perdebatan antara kehidupan yang mati dan kematian yang hidup. Manusia yang hidup dalam soul filem ini bertelagah mencari nafas lebih selesa dalam setiap detik cemas angkara perhitungan yang mengelirukan. Memenuhi satu keinginan mutlak (the ultimate desire) menjadi satu kuasa yang diimpikan. Cinta, antara satu keinginan yang dilantunkan bagai bola getah dalam filem ini. Lantunannya dari satu dinding ke dinding bergantung pada seketul daging pada diri si pembaling. Jika lembut, maka akan di'sambut' lembut dan begitu juga sebaliknya.
Dengan kesempurnaan filem ini, ia menuntut kesabaran yang tinggi untuk menyedut zatnya. Tapi, ia bukannya kesabaran yang merimaskan. Ia kesabaran yang menghairahkan seperti halalnya satu persetubuhan halal. Hinggakan ada satu suara keterpingaan yang berbisik ' rupa-rupanya dunia ini bukan hanya 'satu'. Jangan salah tafsir. Dalam memperkatakan filem ini, harus diletakkan satu imagenary border pada fahaman agama. Jika tidak, sikap prejudis akan mengotori apresiasi terhadap filem yang 'penuh hebat' ini. Dan ini bukan bermakna aku setuju bahawa semua agama itu sama. Cuma tak perlu menjadi seorang pengikut Muhammad S.A.W yang bebal tak menentu.
Aku bukan mengulas (review) atau mengkritik. Dan aku bukan mengulangi apa yang patut diperkatakan. Aku sekadar ingin berinteraksi dengan alam lain yang ujud di kotak fikiran aku selepas menonton Opera Jawa (ini bukan tahyul mahyul ataupun halusinasi). Ini satu perbicaraan tentang sesuatu yang benar ujud. Bicaranya bukan bicara yang real. Bicaranya adalah bahasa metafizik yang teradun dari bunyi dan gerak figura. Jadi, ia bukan lagi tentang lampu, kamera, (cuma sedikit kagum dengan Teo, DOP anak Malaysia) busana, set, dan kareografinya. Tapi ia menyingkap satu ruang kehidupan yang penuh makna dengan tafsiran spritual yang tinggi. Garin 'tidak memberi ruang' kepada aku untuk bercakap tentang perkara yang remeh mengenai filemnya. Jadi apa? Sehinggakan budaya, sosial, politik dan kemanusiaan cuma diwakili kepingan-kepingan sepanduk, warna bentuk busana, ruang tempat dan wajah-wajah bersih dan hodoh. Segala-galanya telah dimudahkan dengan sungguh bergaya. Mise-en-scene akhirnya nampak sebagai pakaian untuk keperluan tubuh telanjang. Yang perlu diketahui adalah sifat si pemakainya.
Tuhan Maha Melihat. Ketika manusia dan alam benar-benar bersatu, amarahNya tetap menjelma dalam pelbagai rupa. Ia angkara kegilaan sifat ekstrem manusia untuk tidak menjadi seperti manusia. Tuhan melihat bagaimana manusia menangani cinta (watak Siti). Bagaimana manusia memberi kesederhanaan dan toleransi ketika melalui detik-detik rasa manusiawi yang kadangkalanya putih, kelabu dan gelap. Menangani rasa dari sifat kasih, sayang, curang, marah, tamak, benci, tawakal dan dendam. Yang akhirnya, manusia terus berada dalam kekesalan tanpa menemui cinta yang benar tulus. Kerana cinta telah dibunuh. Mereka yang membunuhnya. Tanpa disedari, darah cinta menjadi benih subur di pasir luas yang tidak memungkinkan hidupan lain tumbuh disitu. Manusia berarak kesal dan runsing kerana terus menerus meratapi kehilangan cinta.
Limitasi daya manusia dalam Opera Jawa membuatkan aku jadi terlalu kerdil. 'Sangat-sangat terlalu sangat kerdil'. Ini sekadar cebisan rasa dari ribuan rasa lain setelah merasai nikmat Pentas Opera.. eh silap, Opera Jawa. Aku kini kembali ke alam yang nyata. Berdepan dengan atmosphere separuh mati tanpa jiwa. Dengan penuh rasa patriotik (jujur dan ikhlas) kepada negara, tolong terbangkan aku ke bumi Jawa sekarang juga! 'hahaha, (diam dan kemudian tersenyum) Kurang ajar....' kata Pak Lah, manakala Najib yang duduk didepan menghirup secawan kopi yang sudah hilang hangat didepannya. Dia melontar rasa ingin tahunya keluar jendela yang berpemandangan Putrajaya.
Cukuplah.... tak ada kena mengena.
OPERA JAWA: SUATU PENGALAMAN RASA
Maszalida Hamzah
Filem Opera Jawa mengungkap seribu makna atau lebih dari itu. Yang pasti, karya Garin Nugroho ini adalah 'novel', memohon diri untuk 'endure' dunia yang kerap disalaherti dan disalahgunakan. Garin Nugroho membuat percaturan antara spiritual dan fisikal mempersoalkan meditasi hati itu sendiri. Hati yang kusut, hati yang mengingini, hati yang sentiasa lesu dengan keinginan yang kadangkala menyesatkan. Lantas, pertuturan aktor menjadi tali-temali musikal Garin, keras dan lembut, memperdebatkan persoalan hidup. Garin begitu puitis di dalam melihat perwatakan dunia dan setiap langkah, gerak, suara, ritma itu diperturunkan sebagai nyanyian, nyanyian hati yang membutuhkan penyatuan yang tua, muda dan umur-umur purba diantaranya. Penyatuan warna-warna dalam 'elan vital'. Penyatuan esensi dalam figural. Garin seolah-olah melihat hidup semacam suatu kegetiran yang mencipta nyanyian, lagu-lagu dengan pasak emosi yang kuat. Kehendak, imaginasi dan 'free will' seakan-akan menyatakan kenginan sebagai 'will to power'. Kekuasaan aristokrat dan demonstrasi jalanan marhaen menyentak diri mencari penyatuan di sebalik kerenah ekonomi dan politik. Garin membawa 'Pancasila' ke muka pengadilan di atas titik-titik 'photogramme' filem. Hidup, itulah yang perlu. Kita perlu hidup untuk menyaksikan misteri alam. Kehidupan yang diperpanjangkan di dalam kematian Sinta adalah kematian yang menyambungi erti kehidupan. Mati itu hidup dan kadangkala di dalam hidup juga kita bisa mati. Ini adalah nyanyian Garin dalam nada lembut seolah, olah memperlihatkan 'Majesty' dan 'Mercy', antara sifat-sifat Tuhan yang payah difahami akibat sifat 'Wrath'nya juga. Pergerakan Garin melakar waktu dalam alam yang penyaksiannya dililin dengan cinta, cinta Rama dan Sinta sebagai pengabadian kepada alam yang dualistic. Cinta yang tidak kesampaian, cinta yang mudah saja bosan. Cinta yang tidak membawa sebarang pengertian. Cinta yang kadangkala pengorbanannya seolah-olah tiada akibat keberadaan manusia yang tiada daya dan upaya. Cinta yang membutuhkan pengertian terhadap pemilik Cinta itu sendiri. Ruang dan waktu ini menyingkap perasaan was-was yang sentiasa berbolak-balik akibat ilmu yang tiada 'certainty. Ruang dan waktu Garin menyingkap makna di sebalik waktu dalam penciptaan. Makna yang sentiasa memaksa manusia membuat pilihan, berperang dengan dirinya sendiri. Demi masa, Garin melangkah ruang tradisi secara sempit dan luas. Garin memperlihatkan ketakwaan manusia yang sentiasa dirobek oleh akal alam yang nyata. Garin mempersoalkan akal yang bisa pulang kepada pemiliknya di saat ia melalui reformasi intuitif. Garin mempersoalkan pengertian akal universal yang sentiasa mengingini ketetapan hati dalam penglihatan dan rasa. Waktu oleh Garin adalah bersifat 'internal', ritma yang mendesak hati berbicara kritis. Ritma Garin menyatukan 'pastness into presentness' dan sebaliknya. Waktu Garin adalah waktu yang mempunyai 'presence' nya yang tersendiri, memaksa dengan pernyataan imej yang membalikkan bayang-bayang yang dipunyai kita. Waktu Garin adalah 'time pressure' yang melalui bentakan 'empathy' memaksa manusia menyelami pengalaman 'existential' etnik lain sebagai pengalaman bersama. Waktu yang tiada ukurannya. Penciptaan Garin bersifat 'unitary'. Dia mencantumkan aspek 'ritual' yang melalui evolusi beragama yang kadangkalanya seolah-olah tiada. Kesemua agama menjadi satu dalam pengertian Garin. Tatkala langkah disusun dan paradoks ritma dalam nyanyian dilagukan, ternampak di suatu sudut bagaimana Garin melihat susuk dunia Barat menerjah masuk ke dalam tradisi, budaya dan agama. Namun, asas keibuan / 'motherland' sebagai 'Gaya' sebagai 'Bende Mataram'di dalam penciptaan Garin jelas terlihat. Aspek kembalinya sang protagonist ke rahim ibunya adalah sinonim kepada keadaan yang tenang dan dihiburkan dengan nyanyian dan ritma nadi sang ibu. Sudah tidak perlu keluar menyaksikan alam yang penuh noda yang memaksa jiwa-jiwa melihat dunia dalam aspek yang 'nihilistic' . Sudah tidak berkeinginan apa-apa. Kosong, sebagaimana Zen, kosong fikiran dan perasaan untuk dipersiapkan dengan kualiti yang leluhur, yang bersifat 'transcendent' , yang berdiri atas dirinya sendiri, menantikan insan yang telah bersedia menerimanya. Penyaksian ini adalah 'luminous' yang melontar topeng-topeng karakter Garin ke dasar cakrawala yang tiada penghujungnya. Percaturan penciptaan, alam yang nyata dan tersembunyi ini kepada Garin adalah 'religious epiphany'. Kata Tarkovsky (Menard, 2003);
......A true film stretches beyond the boundaries of its sound-images, creating more thoughts, ideas, than consciously put there by the filmmaker….It is like a living organism because it grows in form and meaning after leaving the editing bench, detaching itself from authorial intent and allowing itself to be experienced and interpreted in individually personalized ways – just as those unique and precious moments in real life.