Followers

Wednesday, February 15, 2012

Anugerah Juara Lagu 26 (Muzik Muzik 2011)


Apa Ada Di AJL26? www.themalaysianinsider.com

February 05, 2012
5 FEB — Sudah beberapa tahun aku tidak menonton pertandingan akhir Juara Lagu, kerana tidak berada di dalam Negara. Selain menonton siaran langsung di TV3, aku juga pernah menonton persembahan di tempat berlangsung di Bukit Jalil. Tapi sekarang orang sudah boleh menonton di seluruh dunia melalui www.tonton.com.my. Tahun ini juga aku mengambil keputusan untuk menonton acara kemuncak industri muzik tanah air ini, walaupun di televisyen. Tahniah kerana terus kekal berada di dalam industri kreatif selama 26 tahun. Selalunya acara-acara tahunan di Malaysia tak kekal lama, terutamanya acara seni, seperti Kuala Lumpur Arts Festival. Mungkin inilah sebuah acara seni yang sebenar untuk orang Malaysia masakini, seni pop. Tapi bila menyebut sedemikian rupa, seni itu harus ada bukan saja pada muzik, senikata dan nyanyian, tetapi juga pakaian dan persembahan keseluruhannya. 
Di Hong Kong, Hong Kong Arts Festival akan menyambut ulangtahun ke 40 pada tahun ini. Manakala Singapura pula telah mula mengadakan Singapore Arts Festivalnya sejak tahun 1977, genaplah 35 tahun pada tahun ini. Pada tahun 2008, Singapore Arts Festival menjadikan air sebagai tema, sama seperti tema Anugerah Juara Lagu pada tahun ini. Video promo yang dihasilkan oleh Celcom lah juga yang menjadi daya penarik untuk aku menonton AJL pada tahun ini, kerana seperti ada sesuatu yang berlainan yang bakal terjadi. Malah video promo di dalam air itu mengingatkan aku kepada persembahan teater tari ekspresionis Jerman karya Pina Bausch (1940-2009) yang begitu terkenal di dunia seni kontemporari. Di dalam pementasan tersebut pada tahun 1981, seluruh pentas dipenuhi dengan air, malah terdapat curahan air di mana-mana dari lelangit pentas. Para penari harus menari dan bermain di dalam air selama dua jam. 
Apabila pengacara AJL26, Cheryl Samad bertanya kepada pengacara pasangannya, Faizal Ismail, ckenapa tema air?”, jawapannya, “kerana kita banyak taman tema air di Malaysia” dengan sebuah jawapan jenaka. Tetapi di dalam video promo “Di Sebalik Iklan AJL26”, ada beberapa cetusan idea yang disampaikan seperti kata Faizal Ismail sendiri “Air unsur yg baik, tubuh dan dunia penuh dengan air”. Hasni Yusof, pengarah iklan sendiri menjawab yang “air adalah sebagai sebuah tenaga”. Ning Baizura pula turut mengatakan yang “air sebagai sesuatu yang sangat simbolik, terutamanya pada seorang wanita, seperti air dalam kandungan ibu dan air yang menjadi sebahagian darah yang mengalir”. Pendekata tema air sudah diperjelaskan di situ. Tapi apakah cita-cita menjadikan air sebagai tema terlaksana? 
Pada aku, kita di Malaysia juga sebenarnya dihubungkan dengan air, di antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung, Pulau Pinang serta pulau-pulau lain yang penting buat kita. Air pula sememangnya asas kehidupan, tanpa air, keringlah kita. Tetapi air juga membawa bencana seperti tsunami yang berlaku di Aceh, Jepun dan banjir yang baru melanda negara Thailand. Pendekata itulah salah satu unsur kejadian, selain tanah, api dan angin. Sayang, ini semua tidak pernah diucapkan. Atau mungkin itu terlalu akademik? Rasanya tidak, rakyat Malaysia pun semua dah berpendidikan. 
Segmen pembuka tirai selalunya menjadi penentu sesebuah acara, samada ia memberansangkan atau tidak. Persembahan dimulakan dengan sebuah tribut yang menampilkan Jamal Abdillah sebagai Raja Pop, Awie Wings sebagai Raja Rock dan Shiela Majid sebagai Ratu Jazz. Cuma aku kurang jelas dengan konsep pemenang-pemenang AJL yang lalu. Aku juga tak pasti yang irama jazz pernah menjadi salah satu irama yang dipertandingkan. Malah seingat aku, Shiela Majid tidak pernah masuk ke peringkat akhir. Kalu tidak aku pastilah tahu, kerana irama jazz dan “Rhythm & Blues” adalah irama kegemaran sejak berada di kampus pengajian tinggi. 
Yang lebih melucukan, M.Nasir yang bukan hanya seorang komposer rock dan balada, tetapi juga seorang penyanyi yang memperkenalkan irama pop-ethno atau irama Malaysia, langsung tidak disebutkan, apalagi bila orangnya sudah berada di depan mata. Sayang sekali! Yang lebih pelik lagi Sti Nurhaliza, yang banyak menggondol banyak anugerah di AJL langsung tidak diundang membuat persembahan. Dia seharusnya seorang Ratu Pop yang tidak harus ditinggalkan. Jikalah empat penghibur ditampilkan cukuplah untuk menzahirkan konsep Tanah, Air, Api dan Angin. 
Walaubagaimanapun, persembahan Jamal Abdillah mendendangkan lagu “Senandung Semalam” cukup memukau, malah mengingatkan aku pada klip video Raja Pop, Michael Jackson, “Thriller”. Jamal juga sudah siap berjaket, bersarung tangan dan bertopi, disulami dengan asap, hujan dan kilat sabung menyabung. Sayang sekali tidak ada gadis-gadis dan jejaka-jejaka yang bangit dari kepulan-kepulan itu. Ini tepat sekali mewakili konsep tanah dan air. 
Persembahan Awie dgn rambutnya yang mengerbang dan angin yang bertiup, membelaia sekaf merahnya, dengan aura warna pentas yang merah amat menarik sekali. Kontinuiti berwarna merah pada baju Shiela Majid pula seperti mewakili api. Cuma sayang, aku tak berapa pasti apa yang ditarikan atau dilakukan oleh penari-penari di sekelilingnya. Secara umum, kesemua lagu-lagu yang dipertandingkan agak unik dan menarik untuk didengar, dari lagu-lagu rock seperti “Wanita Seluruh Dunia” nyanyian Projek Pistol, “Karma” oleh Faizal Tahir dan “Gadis Semasa” nyanyian and Yuna, irama pop alternatif seperti “Adinda Kekanda” persembahan Monolog dan Atilia, “Cinta Muka Buku” oleh Najwa Latif, “Penakut”nyanyian dan ciptaan Yuna dan “Sungai Lui” persembahan Aizat. Yang peliknya saban tahun AJL ini menjadi seperti sebuah pertarungan persembahan penyanyi-penyanyi menyanyikan lagu secara “live”. Bukankah kita sepatutnya meraikan pencipta lagu? Bagaimana pula dengan pengiktirafan terhadap penulis lirik? Anugerah tersebut telah hilang dari pertandingan. 
Lagu “Kalau Berpacaran” dendangan penyanyi puisi era 1970an Sohaimi Mior Hassan, Ana Rafali dan Ultimate Rapper, kelihatan seperti sebuah percubaan menghasilkan irama baru melalui gabungan tiga gaya berbeza, tetapi didominasi irama 1960an. Tiga buah lagu lain yang dipertandingkan, “Awan Nano” nyanyian Hafiz, “Beribu Sesalan” persembahan gabungan Ning Baizura, Shila Amzah dan Jacquiline Victor, “Sedetik Lebih” yang didendangkan oleh Jac serta “Kisah Hati” nyanyian Alyah, boleh dikatakan sebagai lagu-lagu pop balada yang sudah menjadi kebiasaan untuk tercalon di peringkat akhir, malah berpotensi untuk menjadi juara. Cuma sejak beberapa tahun kebelakangan ini irama pop urban, rap, hip-hop dan rock alternatif menjadi pilihan. 
Penjurian 12 belas lagu yang dipertandingkan melalui pengundian oleh 30 orang juri dari kalangan pencipta, penulis dan produser lagu yang diketuai oleh Azmeer dengan menggabungkan nama-nama besar seperti Jennifer Thomson, Fauzi Marzuki, Susan Goh, Ajai, Johan Nawawi dan lainnya, mungkin dilihat sebagai suatu perubahan baru untuk hala tuju industri muzik. Sekaligus mengumpulkan mereka bersama untuk sama-sama berfikir, apakah arah seterusnya untuk industri muzik di era teknologi informasi ini? 
Juara lagu pada tahun ini, “Awan Nano” ciptaan M.Nasir dan lirik oleh Budi Hikayat, mendapat hadiah RM35,000. Lagu “Beribu Sesalan” ciptaan Kevin Chin pula menyandang Naib Johan dengan hadiah RM15,000, manakala lagu “Karma” ciptaan Audi Mok bule mendapat tempat ketiga dengan hadiah RM12,000. 
Hafiz AF(Akademi Fantasia) dari Sarawak memenangi anugerah Vokal Terbaik melalui lagu dendangannya, “Awan Nano”, yang tidak kurang menarik persembahannya melalui penampilan penyanyi dangdut Malaysia, Herman Tino, di dalam tayangan video yang dipaparkan. Penampilannya yang bersahaja, dengan berkaki ayam, berbaju tee, dan bercelana trak, mampu menarik perhatian dan menumpukan persembahannya kepada vokal. Sebelum ini pun kita pernah melihat persembahan Maizurah Hamzah, Eliana dan Ning Baizura berkaki ayam. Apakah penampilan sebegini rupa boleh menjadi representasi kaum petani dan penduduk luar bandar? Atau ianya boleh merepsentasikan golongan urban yang melihat fesyen catwalk di Paris dan Milan sebagai rujukan untuk bergaya? 
Rasanya banyak persembahan yang menarik dalam AJL26, dari Projek Pistol yang simple bersahaja, Aizat yang menampilkan projeksi video “seni pasir”, sesuatu yang baru di Malaysia, Faisal Tahir yang tampil gothic dramatik, Jac dengan busana yang begitu sensuous dengan penampilan piano, alat muzik bertali dan dibelakangi kumpulan koir, seperti sekumpulan penyanyi gospel di Amerika. Persembahan Alyah dalam lagunya “Kisah Hati” menjadi satu tanda tanya buat aku, bukan kerana bajunya tak cantik atau suaranya hancur, tetapi pengarahan yang membingungkan, dengan seorang badut yang membaca doa “Alif Ba Ta” beberapa kali untuk memulakan pergerakan patung yang bernyanyi. Yang peliknya aku tidak pasti macamana tiba-tiba patung itu bergerak tanpa sebarang desakan. Atau mungkin Remy Ishak yang tiba-tiba muncul menjadi penggerak patung yang kaku untuk bergerak. Apapun, Alyah dianugerahkan sebagai persembahan terbaik dan menerima RM10,000. 
AJL26 juga mencatatkan momen-momen yang unik seperti persembahan Monolog dan Atilia yang berpakaian tradisi siap dengan tanjak, kot dan sampin labuh, manakala Atilia berbaju kebaya songket bunga tabur, dengan iringan alat muzik angklung dan sekumpulan marching band, menjadikan persembahan menarik, walaupun lagunya agak hambar. 
Yuna yang tampil berbeza di dalam kedua-dua buah lagu “Gadis Semasa” dan “Penakut”, menyuntikkan elemen muzik James Bond dalam di dalam prelude lagu “Gadis Semasa”. Cuma agak terperanjat melihat beliau menampilkan imej glam-muslim, siap dengan bulu mata lentik, baju-baju berjemaki dan dihiasi assesori. Beberapa tahun lalau sewaktu beliau mula-mula muncul ada suara-suara yang bertanya “selama mana Yuna akan bertahan di dalam industri dan tidak menjadi “glamour girl”. Malah aku sendiri tertanya-tanya “Perlukah Yuna, yang bersuara simpel, sempoi, santai dan bersahaja, mengikut jejak penyanyi-penyanyi wanita Malaysia yang suka menyanyi dengan suara nada tinggi dan membawakan imej glamor? Kerana di saat dia berubah dari gaya asalnya yang tersendiri, dia harus mula memikirkan gaya persembahannya. 
Malam gilang gemilang itu diakhiri dengan sebuah persembahan tribut untuk penyanyi penuh inovasi, Allahyarham Sudirman, melalui lagu-lagunya “Hidup Sederhana (Basikal Tua)”, “Balik Kampung”, “Chow Kit Road” dan “Salam Terakhir”. Yang sedihnya penyanyi-penyanyi yang digandingkan, Hazama, Black dan Lan Typewritter seperti tidak memberikan persembahan yang terbaik. Walaupun mereka tidak bertanding di dalam AJL, seharusnya para penyanyi generasi baru ini memberikan perhatian dan kesungguhan yang lebih, juga sebagai tanda hormat pada penghibur generasi terdahulu. Para penari latar di akhir persembahan seperti kehilangan arah dan tidak membantu nilai persembahan. Bak kata orang dulu-dulu “Buat Perabih Boreh”.
* Pandangan yang diberikan di atas hanyalah pandangan penulis.

Monday, December 26, 2011

Dari Novel Ke Filem: Karipap Cinta dan yang sewaktu dengannya


Karipap awak sedap tak?

December 23, 2011
23 DIS — Rasanya tidak salah untuk kita memperkatakan tentang sebuah filem yang walaupun ianya telah beberapa bulan lalu ditayangkan di pawagam. Apalagi apabila kita masih sedang hangat membicarakan tentang filem bagaimanakah yang harus dinobatkan sebagai filem yang baik dan apakah kesan filem-filem yang diadaptasi dari novel.
Usaha-usaha sebegini bukanlah satu usaha yang baharu dilakukan di Malaysia. Sebelum ini kita telah ada filem seperti “Langit Petang”(1982) arahan Shahrom Mohd. Dom yang diadaptasi dari novel Sasterawan Negara A.Samad Said dengan judul yang sama dicetak pada tahun 1980, dua tahun selepas ianya dicetak.
“Ranjau Sepanjang Jalan”, novel tulisan Sasterawan Negara Shahnon Ahmad yang ditulis pada tahun 1966, dijadikan filem dengan arahan oleh Jamil Sulong pada tahun 1983, dua puluh tiga tahun setelah novelnya diterbitkan.
Sekarang ini kedengaran pula novel Sasterawan Negara Anwar Ridhwan, “Hari-hari Terakhir Seorang Seniman” yang ditulis pada tahun 1984 dan sedang diarahkan oleh Sabri Yunus, dua puluh enam tahun setelah novelnya diterbitkan.
Yang menariknya, kita juga baru saja dihidangkan dengan filem adaptasi novel “Ombak Rindu” yang diarahkan oleh pengarah filem Osman Ali. “Ombak Rindu” sebuah novel popular yang ditulis oleh Fauziah Ashaari pada tahun 2002 terbitan ALAF 21, Kumpulan Karangkraf, yang dijual hakciptanya untuk dijadikan filem pada tahun 2009, tujuh tahun setelah pertama kali novel tersebut diterbitkan.
Filem yang telah mencecah lima juta ringgit pada minggu pertama itu telah menghasilkan dua kali ulangcetak berjumlah 40,000 naskah. ALAF 21 menjelaskan yang Fauziah Ashaari bakal menerima RM50,000 sebagai bayaran royalti dan telah menerima lebih dari RM220,000 bayaran royalti sejak tahun 2002.
Mungkin ini sesuatu yang jarang berlaku di dalam dunia penulisan dan perfileman tanah air. Sebelum filem “Ombak Rindu” pun sudah ada sebuah lagi novel popular “Karipap-karipap Cinta” (2010) tulisan Nazri M. Annuar terbitan PTS Fortuna yang filemkan.
Filem yang diarah oleh pengarah filem tersohor Othman Hafsham itu gagal mendapat perhatian yang tinggi di pawagam. Filem tersebut malah menemui kerugian dengan hanya mengutip RM980,000 berbanding modalnya berjumlah RM1.8 juta.
Walaupun sesetengah pihak menganggap yang ia mendapat saingan besar daripada filem box-office “Hantu Bonceng” arahan Ahmad Idham, ramai pihak pula berpendapat yang filem tersebut jauh lari dari cerita asal dalam novel popular remaja yang bernafaskan cinta islami.
Ramai penggemar novel menganggap yang filem tersebut bersifat liberal dan langsung gagal menyelitkan bibit-bibit percintaan dua remaja Melayu Islam dalam ruang lingkup Malaysia yang menjadikan Islam sebagai ugama rasminya.
Pada pandangan saya novel tersebut cuba mengikuti jalur-jalur yang telah dipacakkan oleh novel Ayat-ayat Cinta tulisan Habiburrahman El-Shirazy cetakan pertama pada tahun 2004, dan kemudiannya difilemkan pada tahun 2008 dengan arahan Hanung Bramantyo. Filem yang bukan hanya mendapat kutipan tinggi di Indonesia dan Singapura ini juga mencatat kutipan lebih RM15 juta di 22 pawagam di Malaysia pada tahun 2008.
Ada sesetengah penulis menyifatkan novel Nazri M. Annuar sebagai mempersendakan novel-novel cinta di pasaran tetapi diterjemahkan sebagai sebuah novel islam di dalam menjenamakan novel tersebut untuk melariskan jualan.
Jadi adalah tidak benar jika dikatakan yang penonton filem di Malaysia tidak menggemari judul yang bersifat islami. Tetapi mungkin ada benarnya jika dikatakan yang pengarah filem Othman Hafsham sudah tidak dikenali lagi kerana perbezaan generasi. Atau mungkin juga ada benarnya yang Othman Hafsham dan Cinematic membuat pilihan yang tidak tepat pada dua watak utama Gambit Shaifullah dan Melia Aimelia, yang bukan hanya tidak dikenali ramai, malah Gambit pula mempunyai imej yang tidak baik di kalangan penonton, kerana tingkah lakunya sebelum ini. Pendekata, penonton Malaysia bukan hanya menilai lakonan tetapi juga latarbelakang pelakon dan gossip-gossip yang menghujani mereka.
Bagi saya yang tidak mengenali kedua-dua pelakon tersebut dan hanya bersandarkan kepada pengetahuan latarbelakang perfileman Othman Hafsham, pengalaman menonton hanyalah tertumpu kepada bagaimana pelakon-pelakon tersebut membawakan watak masing-masing.
Filem yang juga bertemakan makanan ini tidak jauh berbeza dari filem “Papadom”(Afdlin Shauki) dan “Nasi Lemak”(Namawee) yang menampilkan isu pertembungan kaum di Malaysia atau isu “multi-culturalism”. 
Mungkin Othman Hafsham yang dikenali kerana filem “Mekanik” di tahun 1983, masih ingin mempertahankan popularitinya sebagai pengarah filem-filem muhibbah, apalagi setelah kita kehilangan tokoh filem muhibbah Yasmin Ahmad.
Kerana itulah juga Othman Hafsham yang untuk sekalian lamanya bertapak di dalam program sitkom televisyen “2+1” dan “Pi Mai Pi Mai Tang Tu”, menampilkan watak-watak Melayu, Cina dan India yang hidup dalam satu ruang lingkup, menampilkan filem “Karipap-karipap Cinta” sebagai sebuah filem yang berunsurkan “multi-culturalism”. Malangnya filem ini seperti masih sangat terpengaruh dengan gaya arahan 1980an dan estetika televisyen yang sangat mendatar lakonan dan kedalaman perwatakan.
Memanglah Othman Hafsham di antara pengarah filem yang disegani di Malaysia, terutamanya di tahun-tahun 1980an selepas membawakan kita filem-filem yang sangat diingati seperti “Adik Manja”, “Mekanik” dan “Rahsia”.
Mungkin Othman Hafsham masih sama dan tidak berubah kehandalannya, tapi kita penonton-penonton filem Melayu yang telah banyak berubah, dari hanya menonton satu atau dua filem Melayu di pawagam dalam setahun dan dipaparkan dengan filem-filem Melayu hitam putih tahun 1950an dan 1960an, kini kita sudah boleh menonton 365 buah filem setahun melalui DVD, pawagam, ASTRO, YouTube di komputer riba atau di telefon gengam.
Kita, penonton filem masakini, sudah tahu menilai filem yang baik dan filem yang ingin ditonton, walaupun kita hanya boleh dibilang sebagai seorang “Film Buff”. Sudah tiba masanya pengeluar dan pengarah filem memandang serius terhadap penonton filem dan tidak memperbodoh-bodohkan mereka.
Dari pengamatan saya, filem “Karipap-karipap Cinta” seperti melonggokkan isu “multi-culturalism” atau muhibbah ini secara terpaksa, melalui rakan serumah yang berketurunan India serta jiran berketurunan Cina. Bukannya skenario sebegini tidak wujud di Malaysia, tetapi pengembangan skripnya sudah berubah dari bukunya. Saya percaya yang isu Islam juga boleh ditemukan dengan isu “multi-culturalism” seperti yang telah hadir dalam filem Yasmin Ahmad.
Jika dilihat pada filem “Ayat-ayat Cinta”, lagu temanya yang sama judulnya dinyanyikan oleh Superstar Indonesia, Rossa dan ditulis oleh komposer handal, Melly Goeslow, lebih melonjakkan lagi populariti filem tersebut.
Berbeza dengan lagu tema filem “Karipap-karipap Cinta” berjudul “Sehabis Baik” yang dinyanyikan oleh Ana Rafali mempunyai nada “indie” yang tidak ada unsur nada popular, sebaliknya hanya menjurus kepada sebilangan kecil peminat muzik. Ini langsung tidak memberikan promosi yang baik kepada bakal penonton filem tersebut. 
Pendekata, tidak mudah untuk menghasilkan filem yang baik daripada novel-novel popular dan termashur. Walaupun ianya mempunyai pengikut yang sedia ada, mereka juga mempunyai kayu pengukur yang tersendiri tentang bagaimanakah filem tersebut harus hadir di depan mata mereka. Manakala pihak pengeluar juga harus berdepan dengan isu royalti dan hak milik kreativiti dan cerita asal.
Bagi saya, apa yang paling menarik tentang “Karipap-karipap Cinta” adalah resipinya yang diberikan oleh Nazri M. Annuar.
      3 ulas rasa suka
      1 botol hati gembira
      1 biji rendah diri(saiz besar)
      5 keping kehormatan
      1 cubit rasa rindu
      3 batang tanggungjawab, dipotong halus
      3 bekas cita-cita
      10 guni kejujuran (diayak untuk membuang kata dusta)
Ramuan diadun dengan ilmu dan akal. Masukkan dalam kuali persahabatan, tunggu hingga masak. Setelah masak, hidangkan bersama yang tersayang.

Tuesday, November 22, 2011

Aku Dalam Buku



Orang Macam Kita ialah sebuah antologi cerpen dan esei mengenai seksualiti alternatif di Malaysia. Seksualiti alternatif boleh diertikan sebagai homoseksual, biseksual, transgender dan dwikelamin. Ini termasuklah gay, lesbian, tomboy, mak nyah dan khunsa. Label-label sebegini mungkin tampak sensasi atau klinikal. Namun cerita-cerita dan kajian-kajian di dalam buku ini mungkin mendedahkan sisi lain, yakni sisi alternatif, daripada tanggapan yang sedia ada. Orang Macam Kita memuatkan 25 karya dengan gaya dan pendekatan yang berbeza-beza: kisah cinta dan penerimaan yang mencuit, cerita pendedahan yang dramatik, kajian mengenai media, sastera dan filem; dan ada yang melayang jauh ke alam surreal. Kepelbagaian ini turut diraikan; tepuk dada tanya selera!

Kandungan:
 Pengenalan - Azwan Ismail & Diana Dirani

Tiga Perbualan dan Satu Siri Pesanan Ringkas - Nur Fadhlin Binti Mohd Yusof
Anak Ikan - Ajami Hashim & Fadli al-Akiti
Sembang Ratu - Nizam Zakaria
Jika Itu Takdirnya - Khalid Idris
Pangkon - Dalih Sembiring
Hanya Jauhari Menyelindung Manikam: Memburu Ikon Gay dalam Filem Malaysia - Fadli al-Akiti
Avatar Tekne Seksual - Clarissa Lee
Rabak - Mohd Zaain Bin Md Zin
Sulalatus Anilingus - Ridhwan Saidi
Lurus Atau Bengkok - Dina Zaman
Pencuri Hati - Nizam Zakaria
Gay.a Ke Aku? - Zulkifli Bin Mohamad
Duyung Karuna - Chuah Guat Eng
Indra Dan Fadil - Paul Agusta
Sejarah Ringkas Media Cetak Tentang Orang Macam Kita - Hafidz Baharom
Tiada Sesalan - Azwan Ismail
Wanita Dua Wajah - Bissme S.
Honey - Bernice Chauly
Sepetang Di Kafe Oedipus - Mohd Ikhwan
Syi - Mohd Syahar Azizan
Vagabundando, Vagabundando - Fernando Rosa Ribeiro
Yang Sebenarnya - Adibah Yahya
Sembang Ratu II - Nizam Zakaria
Sekilas Ikan Di Air, Siapa Tahu Jantan Betina: Siapa Sebenarnya Panji Semirang Asmarantaka? - Farish A. Noor
Asmara Dua Vampir - Diana Dirani

Jumlah mukasurat: 226
Harga: RM20 sahajork
Ni kulit penuh; judulnya ialah sticker yang boleh perpindah-randah mengikut selera si pembeli:


Buku ini TIDAK akan dijual di kedai-kedai buku utama (hanya di Silverfish). Ia hanya boleh dibeli di event-event (bermula dengan Pekan Frinjan pada malam 2 Oktober) dan juga melalui pesanan pos (sila emel saya di info@mataharibooks.com - pengeposan percuma di seluruh 1Malaysia ). Yang ovesi boleh pesan melalui Amazon.

Black Swan dan Bulemia


Ballet, Black Swan dan bulemia

February 01, 2011
1 FEB — www.themalaysianinsider.com
Selesai menonton filem Black Swan (lakonan Natalie Portman dan Winona Ryder) di University Village, Riverside, California, aku terus terpanggil untuk menulis sesuatu tentang filem itu dan tari ballet.
Memanglah ballet bukan budaya tarian kita di Malaysia, apalagi di kalangan orang Melayu, India dan lainnya. Tetapi ada banyak sekolah ballet di Kuala Lumpur dan bandar-bandar lain termasuk di Kuching, Sarawak dan Ipoh, Perak.
Aku tak pernah belajar di kelas ballet di Malaysia; yang ada cuma menonton video-video VHS ballet dari tahun 1960an hingga 1980an, termasuk  persembahan tarian oleh penari Margot Fonteyn dan Rudolf Nureyev, dual agenda ballet abad ke 20.
Dari situlah aku mula belajar judul-judul ballet klasik barat seperti Nutcracker, Romeo & Juliet, Cinderella, Giselle, Copellia serta Swan Lake. Apabila sampai ke Glasgow pada tahun 1991 untuk progam master dalam international marketing and business, aku mendaftarkan diri untuk masuk ke kelas ballet di Scottish Ballet.
Aku tak tahan lama di kelas ballet, cuma sebulan saja, tapi aku mulai masuk ke kelas kontemporari yang lebih serasi dengan aku, apalagi kerana sudah ada tarian-tarian lain yang sudah dipelajari seperti tari klasik Melayu.
Selalunya selesai kelas di University of Strathclyde, aku mengambil keretapi bawahtanah ke untuk kelas selama dua jam. Akhirnya aku menjadikan Scottish Ballet sebagai case study disertasi program sarjana pemasaran antarabangsa, Sponsorship Strategy of Ballet Companies in United Kingdom.
Berkerja di Bahagian Pembangunan, Scottish Ballet, banyak membuka mataku, bukan hanya tentang penajaan seni tetapi juga tentang sesebuah karya artistic itu sendiri dan apa yang diminati oleh publik dan sponsor korporat.
Penyelidikan ballet di United Kingdom yang ditaja oleh British Rail, memberi peluang untuk aku melawat kota London untuk menonton dan menemubual artistic director, chief executive dan pengarah pembangunan beberapa buah ballet seperti English City Ballet, Royal Ballet, Ballet Rambert, London Contemporary Dance Company serta Birmingham City Ballet.
Aku juga berpeluang menonton beberapa ballet luar United Kingdom seperti Kirov Ballet dan Bolshoi Ballet dari Rusia serta Australian Ballet. Ternyata setiap kumpulan menampilkan gaya yang berbeza walaupun mereka membawa cerita ballet klasik yang sama. Selalunya cerita-cerita ballet ini dipersembahkan mengikut empat musim.
Antara tontonan ballet yang paling tidak dapat dilupakan adalah Romeo & Juliet, koreografi Rudolf Nureyev di Paris Opera, pada tahun 1991, beberapa bulan sebelum Rudulf Nureyev meninggal dunia, dan dari jauh, aku sempat melihat Rudulf Nureyev naik ke pentas. Rudolf, walaupun lambat belajar menari ballet di umur 21, beliau bukan saja menjadi di antara penari ballet terunggul di abad 20, tetapi juga koreografer ballet yang disegani.
Setelah banyak menonton ballet klasik, dan mulai jemu, aku beralih ke arah tarian kontemporari serta pasca-moden. Sebelum pulang ke Malaysia, aku menonton tari contemporary Wild Life yang dipersembahkan oleh London Contemporary Dance Company di London, dan itulah yang terus memberikan inspirasi untuk aku terus pulang berkerja di Sarawak, Borneo. Pertama kali membuat koreografi tari, aku berkolaborasi dengan Chan Layna, seorang penari ballet bertauliah, beliau juga mempunyai sekolah ballet sendiri di Kuching.
Ballet selalunya dimulakan sejak kecil, mungkin sejak dari umur lima tahun, di Malaysia sekolah ballet sering dikunjungi oleh masyarakat Cina. Sekolah-sekolah ini harus mempunyai tauliah dan juga diajar oleh guru-guru bertauliah dan susah untuk ditemui. Kelas-kelas ballet atau tarian lain seringkali membentuk disiplin yang baik dikalangan anak-anak, tetapi sering juga anak-anak memberontak, kerana mereka dipaksa oleh ibu untuk mengambil kelas ballet.
Mungkin itulah juga yang ingin ditampilkan di dalam filem Black Swan, yang seterusnya membuatkan anak itu menghadapi tekanan jiwa. Ballet juga seringkali diasosiasikan dengan masalah bulimia, di mana mereka tidak mahu makan, supaya terus kurus, kerana setiap ballerina harus mempunyai imej yang sedemikian. Sewaktu di Scottish Ballet, aku pernah melihat sendiri gadis-gadis ballerina hanya memakan sebiji buah epal, cokelat Mars dan jus oren untuk makan tengahari mereka.
Sebagai seorang Asia yang mempunyai bentuk badan yang tidak kurus dan tinggi agak sulit untuk menjadi seorang penari ballet, apalagi kalau tidak dibimbing dari kecil, terutamanya untuk gadis-gadis. Apalagi untuk lelaki Asia Tenggara yang harus mengangkat dan menjunjung badan seorang gadis ballerina. Yang paling sulit adalah untuk menari ballet menggunakan point.
Sebenarnya sudah ada bebarapa buah filem yang mengisahkan kesulitan para penari ballet untuk terus bertahan sebagai penari ballet atau terus bertahan sebagai prima ballerina, apalagi setelah umur meningkat seperti di dalam filem Red Shoes (1948), White Nights (1985) lakonan Isabella Rosalini dan Mikail Barishnikov, Centre Stage (2000) tentang American Ballet, The Company 2003) arahan Robert Altman lakonan Neve Campbell, serta Billie Elliot (2000) yang menampilkan kesusahan seorang kanak-kanak Irish untuk mencapai impiannya kerana pendirian orang irish yang bersifat macho.
Mungkin filem ini juga ingin menarik minat para pelajar lelaki untuk menari ballet di United Kingdom dan seluruh dunia. Tarian ballet Swan Lake di dalam filem tersebut dikoreografikan oleh Matthew Bourne, kini terkenal dengan beberapa buah ballet lain termasuk Dorian Gray dan Edward Scissorhands yang menampilkan semua penari lelaki. Ballet Trocadero juga menjadi terkenal dengan balletnya yang menampilkan semua lelaki tetapi sebaliknya mengenakan pakaian wanita. Kumpulan Ballet Trocadero ini juga pernah datang membuat persembahan di Kuala Lumpur beberapa tahun lalu.
Menarik juga melihat seorang penari ballet terkenal Paris Opera, Sylvie Guillem yang menukar arah ke arah contemporary setelah meningkat usianya, bagaimanapun fizikalnya yang luarbiasa membuatkan dia sukar dilupakan walaupun usianya sudah lanjut, pernah menonton secara langsung di Esplanade Singapura dalam karya Sacred Monster koreografi Akram Khan bebarap tahun lalu, beliau seterusnya bekerjasama dengan Russel Malliphant dari United Kingdom dan Robert Lepage serta beberapa yang lain.
Begitu juga dengan Mikail Barrishnikov yang menubuhkan grup tarian kontemporarynya sendiri, White Oak Tree Project. Beliau juga banyak tampil di dalam filem dan rancangan televisyen seperti Sex and the City. Pendekata seseorang penari ballet harus pandai menyesuaikan diri dan mencari sesuatu yang lain untuk lebih bertahan lama, samada menjadi seorang guru ballet atau berubah menjadi koreografer atau juga mencari bidang baru seperti berlakon dan sebagainya.
Black Swan adalah sebuah filem ballet yang menarik, mengabungkan karier seorang penari ballet serta tekanan hidupnya, untuk senantiasa muda dan berada di atas sebagai prima ballerina dan untuk terus kurus dan langsing.
Apalagi jika penari ballet tersebut masih berada di dalam usia yang begitu muda dan masih mentah di dalam pengalaman hidup. Ibu selalunya juga menjadi pembimbing atau perosak utama, terutamanya ibu-ibu yang terlalu ambisius tentang kerjaya anaknya. Sebenarnya inilah yang ingin dipaparkan di dalam filem ini. Yang menariknya, filem ini dibikin seperti sebuah seram atau triller yang menyelitkan adegan-adegan pembunuhan serta peristiwa ngeri yang bermain di kepala sang prima ballerina.
* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.

Nasi Lemak 2.0


Masak nasi lemak pun kontroversi

November 03, 2011
Nov 3 - www.themalaysiansinsider.com
Pertama kali melihat poster filem “Nasi Lemak 2.0” di pawagam, aku tertanya-tanya, siapakah dia Namawee? Kawan Cina aku pulak cuma cakap “dia ni cuba nak buat filem 1 Malaysia tapi timbulkan banyak kontroversi”. Aku sedari itu bila melihat adanya gambar Adibah Noor, Afdlin Shauki, David Arumugam dan Reshmonu dalam poster. Tapi bila diajak menonton filem itu, terus terang dia menolak menontonya di pawagam “alah, beli DVD aje nanti!”. Tapi ternyata filem ini tak dapat diketepikan begitu saja, apalagi bila ada berita-berita yang kononnya ada pihak yang tidak berpuas hati dengan filem dan pengarahnya, Namawee.
Pertubuhan Gagasan Rakyat Negeri Perak telah membantah penayangan filem itu, yang dikhuatiri memberi kesan negative kepada golongan muda. Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Menteri di Kementerian Dalam Negeri (KDN), mengumumkan jika ada pihak yang tidak berpuas hati dengan penayangan filem “Nasi Lemak 2.0” bolehlah mengemukan bantahan mereka kepada pihaknya untuk dinilai memandangkan kementerian itu bertanggungjawab dari segi penapisan filem melalui Bahagian Kawalan Filem KDN. Namawee, dikatakan pernah mencetuskan isu yang tidak boleh diterima rakyat Malaysia, menerbitkan video klip “Negarakuku” yang menghina lagu kebangsaan dan masyarakat Malaysia berbilang kaum.
Kontroversi seterusnya melibatkan filem “Nasi Lemak 2.0″ yang bakal tidak menikmati insentif penolakan cukai sebanyak 20 peratus sebagaimana diterima oleh kebanyakan filem tempatan Malaysia yang lain kerana filem tersebut gagal mendapat status Skim Wajib Tayang. Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) telah menjelaskan yang filem “Nasi Lemak 2.0” tidak layak mendapat status Wajib Tayang kerana pandangan prejudis terhadap Namewee yang merupakan pengarah dan pelakon filem tersebut. Walaubagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz telah memberikan sokongan beliau dan berkata “Nasi Lemak 2.0 adalah sebuah filem 1 Malaysia”.
Filem bergenre komedi yang dibintangi oleh Karen Kong, Afdlin Shauki, Datuk David Arumugam, Reshmonu, Nadine Ann Thomas, Adibah Nor, Pete Teo, Patrick Teoh dan Ho Yuhang ini telah berjaya mendapat kutipan RM4.5 juta selepas dua minggu tayangan. Ianya dibuat dengan peruntukan kurang daripada RM1 juta.
Sewaktu membeli DVD filem ini aku berkali-kali dipastikan “ini DVD original okay, bukan cetak rompak”. Ketika itu juga aku teringatkan filem “Sepet” arahan Yasmin Ahmad yang menampilkan watak sipenjual VCD cetak rompak di pasar malam. Yang menariknya, filem ini bukan saja dilakonkan oleh kalangan pelakon-pelakon yang pernah bekerjasama dengan Allahyarham Yasmin Ahmad, seperti Pete Teoh, Ho Yuhang dan Adibah Noor, filem ini juga bijak mengundang penaja korporat seperti Canon, talipon HTC, minuman beer Tiger serta imej kapalterbang AirAsia. Pendekata, filem yang masih dikategorikan sebagai filem Indie Malaysia ini sudah bijak berkolaborasi dan mendapat pendanaan dari pihak produk konsumer.
Sepanjang filem ini aku tercari-cari imej-imej yang menimbulkan kontroversi seperti yang diwar-warkan. Sebagai sebuah filem Malaysia yang banyaknya menggunakan bahasa Cina dalam pelbagai dialek, walaupun ada menyelitkan bahasa Tamil, Melayu dan pigeon English, pastinya filem ini telah diluliskan oleh Lembaga Penapisan Filem kerana mengikut garispanduan. Mungkin jika adapun imej yang mengganggu sesetengah pihak adalah adegan mabuk meminum tiga botol beer. Jika itulah yang dikontroversikan, kita sebenarnya telah lama dihidangkan dengan iklan-iklan minuman keras setiap kali menonton di pawagam. Maka garis panduan filem kita harus diperjelaskan.
Filem ini sebenarnya adalah sebuah “homage” kepada pembikin-pembikin filem multicultural Malaysia seperti P. Ramlee, Othman Hafsham, Yasmin Ahmad, Mamat Khalid, Afdlin Shauki dan Ho Yuhang. Filem ini juga boleh dilihat sebagai sebuah tribut untuk pembikin-pembikin filem independen Malaysia yang didahulukan dengan filem digital “Lips to Lips” arahan Amir Muhammad.
Selain filem-filem Yasmin Ahmad, filem ini seperti mempunyai hubungannya yang tersendiri dengan filem Stephan Chow dari Hong Kong, Jack Neo dari Singapura serta program masakan terkenal “Iron Chef”. Filem ini juga begitu dekat dengan filem-filem yang bersangkutan dengan makanan seperti “Papadom” oleh Afdlin Shauki serta karya terbaru Othman Hafsham, “Karipap-karipap Cinta”. Imej pahlawan Melayunya serta keperwiraan seorang pendekar juga dekat dengan imej Hang Tuah dan biskut bercokelat Kit Kat. Mungkin Namawee sendiri juga dekat dengan dunia pengiklanan seperti Yasmin Ahmad.
Filem “Nasi Lemak 2.0” ini mempunyai sebuah resipi genre “road movie” yang mencari sebuah kejayaan setelah menghadapi kegagalan hidup di dalam sebuah kehidupan berkareerkan sebagai seorang tukang masak, sekaligus mencari jati diri, siapa dirinya yang sebenar (merujuk kepada kewujudan kaum Cina di Malaysia).
Di sini “Nasi Lemak” bukan hanya menjadi ikon Malaysia, tetapi juga sebagai metafor jati diri bangsa Malaysia, bukan hanya sekadar makanan orang Melayu. Malah nasi lemak itu sendiri juga dilihat sebagai sebuah ikon yang sememangnya beridentitikan multi-kultural Malaysia yang menggabungkan budaya India, Cina dan Melayu.
Apa yang menarik di dalam filem ini bukan hanya pencarian diri dalam Hero Huang sendiri, tetapi juga watak Anak Angkat yang dilakonkan dengan baik sekali oleh Karen Kong serta watak Gong Xi Ning, mak saudaranya. Yang paling jelas adalah pencarian pemenang peraduan masakan untuk menjadi tukang masak di Restoran Gong Xi. Pengarahnya, Namawee, begitu pandai menyelitkan komentar-komentar semasa ke dalam filem ini, seperti adegan wanita upahan untuk memabukkan ayah Karen Kong, Gong Xi Fa, seterusnya menimbulkan skandal seks yang dirakam di dalam video dan dimuatkan ke dalam YouTube dan kemudiannya dinafikan bulat-bulat, adegan Nyonya Baba yang dimasukkan ke dalam genre filem komedi seram, serta komentar tentang lelaki Melayu-Muslim yang tinggal serumah dengan keempat-empat isterinya. Pendekata, kita tidak jemu menonton dari satu adegan ke adegan yang lain, walaupun tidak mampu untuk ketawa.
Jika benarlah filem ini adalah sebuah filem multi-kultur Malaysia atau diwar-warkan sebagai 1 Malaysia, siapakah yang sebenarnya yang menimbulkan kontroversi dan kenapakah hal-hal sedemikian masih terjadi di dalam industri filem.
* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.

Festival Filem Malaysia 24

Wow, rupanya dah lebih setahun Aku tak menjenguk ke blog yang satu ini, maklumlah terlalu sibuk dgn fb. Rasanya terlalu banyak yang hendak ditulis, filemlah, bukulah, program ghosh, Muzik, fesyen dan macam2 lagi. Tapi yg Paling hangat buat masa ni adalah ffm24 serta cadangan tontonfilem.blogspot untuk mengadakan festival filem dikalangan blogger pengkritik filem. Cuma Nama majlis tu bunyi mcm majlis ugama atau yg sewaktu dengannya. Boleh tak kita cari Nama lain yg menterjemahkan circle ataupun guna dulu Nama dalam Bahasa Ingeris. Circle juga boleh diterjemahkan menjadi lingkungan.